Thursday, 7 February 2019

Tajaan Futsal Popularkan Keropok Lekor Terengganu

SHARE
Pasukan KLK 008 menjuarai kejohanan besar di Pulau Pinang.
Oleh: Amiirullah Mansor

DUNGUN, 7 Februari - Kejayaan yang dicapai oleh pasukan Keropok Lekor Kelulut 008 (KLK 008) dalam kejohanan futsal di luar negeri Terengganu berjaya mempromosikan industri keropok Terengganu ke seluruh Malaysia.

Ketua pasukan KLK 008, Mohd Syukri Baharudin mengucapkan terima kasih kepada pengusaha KLK 008 kerana telah menaja pasukan futsal mereka sehingga mencapai kejayaan.

Jelasnya, kejayaan yang dicapai hingga ke hari ini bukan semata-mata hanya kerana mereka yang berada gelanggang, tetapi mereka di luar gelanggang turut menyumbang ke arah itu. 

"Saya bersyukur kerana ada orang yang sudi menaja pasukan KLK 008 untuk memudahkan pengurusan pasukan kami," ucapnya ketika ditemui pemberita di Restoran Gong Pasir semalam.

Tambah beliau, sebelum mendapat tajaan, pasukan itu terpaksa mengeluarkan modal sendiri bagi menyertai mana-mana kejohanan di luar negeri itu.

Sementara itu, pengusaha KLK 008, Rohani Husin menerima pelawaan daripada ketua pasukan itu untuk menaja pasukan di samping mempromosikan industri keropok lekor seluruh Terengganu.

"Saya berasa bangga dengan kejayaan pasukan ini kerana di samping mereka bergiat dalam dunia futsal, secara tidak langsung mereka memperluaskan nama keropok lekor Terengganu," jelasnya.

Untuk rekod, pasukan itu bergiat aktif dalam sukan futsal sejak 2016 dan mula menyertai pelbagai kejohanan yang diadakan sehingga berjaya merangkul gelaran juara dalam beberapa kejohanan.

Antara kejayaan terbesar yang berjaya dicapai oleh pasukan itu adalah juara Kejohanan ‘Redbull Bawah 18 Tahun di Pulau Pinang dan Arena Futsal League (AFL) 2018.
Menjadi juara kejohanan sempena Tahun Baru Cina.
Yang terbaru mereka menjuarai dua kejohanan besar iaitu pertandingan sempena Chinese New Year Bawah 22 Tahun di Senawang dan Pertandingan Kaki Futsal di Pulau Pinang.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: