Sunday, 24 February 2019

SPRM Sahkan Tiada Kemasukan RM90 Juta Ke Akaun PAS

SHARE
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull ketika sidang media.
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Dakwaan PAS menerima dana RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh sesetengah pihak berkepentingan adalah jelas tidak benar.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Sri Mohd Shukri Abdull berkata, siasatan yang dilakukan oleh pihaknya terhadap PAS mendapati tiada wang daripada 1MDB disalurkan kepada parti politik berkenaan.

Jelasnya, penelitian yang dijalankan tidak menemui sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan tuduhan itu.

“Siasatan SPRM setakat ini memang tiada kemasukan RM90 juta duit 1MDB ke akaun PAS.

“Memang tak mendapati bahawa berlakunya kemasukan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua (YDP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan, ADUN Terengganu serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Beliau turut berucap dalam majlis menandatangan IBR ADUN Terengganu.
Terdahulu beliau menyaksikan lafaz ikrar bebas rasuah melibatkan semua wakil rakyat Terengganu yang diketuai oleh Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pada 6 Februari yang lalu, SPRM telah memulakan siasatan ke atas dakwaan penyaluran dana berkenaan oleh Sarawak Report (SR) selepas menerima laporan daripada orang awam.

Empat individu iaitu Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, bekas Timbalan Presiden PAS, Dr. Nasharudin Mat Isa, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa dan bekas pengerusi Bersih, S. Ambiga telah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: