Wednesday, 20 February 2019

'Sesuap Kasih' Beri Makan Untuk Asnaf, Fakir Miskin

SHARE


KUALA TERENGGANU, 20 Februari - Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu menyeru kepada semua pihak termasuk mereka yang berkemampuan dan golongan korporat untuk menyumbang menerusi program 'Sesuap Kasih' bagi menyediakan keperluan makanan kepada asnaf, fakir dan miskin.

Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu Ustaz Haji Azmi Tengah berkata, program tersebut memudahkan orang ramai  untuk menyumbang kepada golongan  sasar terbabit.

“Program Sesuap Kasih yang kita anjur pada hari ini  sebagai satu cara bagi  memberi makan kepada orang susah dan golongan asnaf.

“Lebih-lebih lagi kalau peruntukan itu kita guna daripada peruntukan fidyah yang mana asal kepada fidyah itu adalah beri makan kepada orang miskin,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran program Sesuap Kasih di parkir awam, hadapan Kompleks Seri Iman Jalan Sultan Muhamad di sini, hari ini.


Oleh itu menurutnya, program itu dijangka akan diadakan secara mingguan pada setiap Rabu bermula jam 12 tengahari.

“Jadi konsepnya adalah ‘first come, first serve’ (siapa cepat dia dapat) yang datang awal dengan sekadar 100 bungkus makanan. Kita kira ini 'one-off'.

“Itu konsep awal yang saya terfikir (untuk)  laksanakan di Negeri Terengganu dan saya tengok pun belum ada  lagi yang  buat  konsep begini,” ujarnya.

Oleh  itu, beliau juga berharap agar pihak pentadbiran negeri memberi sokongan kepada Pejabat Agama untuk menghebahkan lagi program tersebut kepada orang ramai.

Beliau menyarankan program murni itu diperluaskan ke pusat pengajian tinggi bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan.

“Kalau boleh dikembangkan  lagi program ini ke universiti, UNisZA, UMT, UiTM (dan ini) bermakna kita boleh peruntukan contohnya 500 bungkus nasi untuk makan setiap hari kepada pelajar

“(Para) pelajar itu akan dipilih oleh pusat Islam yang ada di universiti  masing-masing. Itu konsep tabaruk dan kita rasa  pahalanya lebih banyak (daripada) kita ratib di surau di masjid lagi,” tambahnya.

Sehubungan dengan itu, Ketua Pejabat Bank Negara Malaysia cawangan Kuala Terengganu, Adlis Khairil Sazli Mohd Zaini mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur.

Pihaknya yang turut menaja sumbangan pada hari ini berkata, mereka berharap program tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada penganjur  yang menganjurkan satu program yang unik  untuk fakir miskin dan ia juga satu  program yang elok  serta memberi manfaat  secara langsung kepada fakir miskin dan para asnaf,” katanya.

Sementara itu, Sumai Hotel Apartment Kuala Terengganu yang turut menaja makanan tengahari bersyukur kerana program itu membantu pihaknya dalam mengerjakan kebajikan.

Pengarah Eksekutifnya, Wan NurDiyana Wan Mahyuddin berkata, program yang diadakan itu memudahkan kerja pihaknya untuk memberi sumbangan.

“Terima kasih kerana menjemput kami sebab pada asalnya kita nak cari  rumah ke rumah fakir miskin tapi Alhamdulillah hari ini  senangkan kerja dan kita harap (selepas ini) buat lagi,” tambahnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: