Monday, 18 February 2019

Sama-Sama Meriahkan Program Saidatina Aisyah 2019 Sabtu Ini

SHARE


KUALA TERENGGANU, 18 Februari - Orang ramai khususnya wanita dijemput hadir beramai-ramai ke Program Hari Saidatina Aisyah 2019 yang bertemakan `Wanita Inspirasi' sempena sambutan Hari Wanita di Peringkat Negeri Terengganu, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus, Sabtu ini ( 23 Februari).

Pengarah programnya, Hajah Zuraida Md Noor berkata, ia adalah satu inisiatif kerajaan negeri sebagai mengiktiraf dan menghargai peranan serta sumbangan wanita khususnya di Terengganu dalam bidang pendidikan, kesejahteraan keluarga, pembangunan sosioekonomi, masyarakat dan negeri.

“Hari Saidatina Aisyah ini dianjurkan untuk memberi nilai tambah dan menyuburkan elemen penting seiring dengan penerapan keilmuan, kepimpinan dan kemahiran yang harus dikuasai oleh seorang wanita.

“Objektif program ialah untuk menjadi platform tetap dan berkala bagi  membincangkan isu-isu pembangunan wanita dan  hal ehwal permasalahan serta kepentingan ummah.

“Menjadi forum bagi membincangkan usaha-usaha penting dalam pembangunan wanita dalam pendidikan, keluarga, masyarakat seterusnya membentuk masyarakat yang cintakan ilmu dan merapatkan hubungan silaturahim antara kaum wanita di Negeri Terengganu,” jelasnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu berkata demikian ketika bersiaran langsung bersama Manisfm, di sini, hari ini.

Zuraida berkata, antara tentatif dan pengisian menarik sepanjang program yang akan dirasmikan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar adalah anugerah khas kepada wanita Terengganu seperti  Anugerah Wanita Inspirasi, Anugerah Utama ialah Anugerah Saidatina Aisyah, Anugerah Ilmuan, Anugerah Bakti, Anugerah Ikon Remaja dan Anugerah OKU Cemerlang.

“Forum Saidatina Aisyah akan diadakan pada sebelah petang yang mana tersiri daripada ahli panel yang terkenal antaranya, Pendakwah terkenal, Ustaz Dasuki Ahmad Rani yang akan mengupas isu keagamaan, kerohanian dan isu wanita.

“Tokoh politik YB Siti Zailah Mohd Yusof yang merupakan Ahli Parlimen Rantau panjang  membincangkan isu semasa perkembangan politik tanah air dan tentang kerjaya wanita dalam pelbagai aspek dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof Dato' Dr Nor Aieni Haji Mokhtar yang merupakan tokoh ilmuwan wanita yang pertama Naib Canselor di Terengganu yang akan mengupas isu pendidikan,” ujarnya.

Tambah beliau, sepanjang program akan diadakan pameran daripada jabatan kerajaan antaranya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Pembangunan Keluarga, Yayasan Usahawan, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Tabung Darul Iman serta pemeriksaan kesihatan percuma.


Penganjur program Saidatina Aisyah 2019 adalah  Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Perpaduan Nasional negeri yang dipengerusikan oleh Haji Hanafiah Mat.

Selain itu, agensi terlibat antaranya Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPKT), Syarikat Air Terengganu (SATU), Jabatan Kerjaraya (JKR), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Jabatan Pertahanan AwaM (JPAM).

“Lain-lain, i-MiTS, Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Tabung Darul Iman (TDI), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Tabung Haji (TH), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Mawaddah, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Tenaga Nasional Berhad,” tambahnya.








SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: