Tuesday, 19 February 2019

Rumah Terbakar, ADUN Ikhtiar Bantuan Segera

SHARE

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 19 Februari - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun menyampaikan sumbangan segera kepada keluarga Roslina Suhaimi, 37, pemilik kediaman yang musnah dalam kebakaran, 17 Februari lalu.

Sumbangan tersebut disampaikan pada hari kejadian untuk meringankan beban mangsa sekeluarga berikutan kehilangan rumah yang telah didiami selama hampir 20 tahun.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Majlis Tindakan DUN berkenaan telah menghubungi agensi-agensi terbabit untuk memaklumkan kejadian yang berlaku.

“Pada hari kejadian, wakil Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) turut hadir membuat tinjauan untuk menilai bentuk bantuan yang diperlukan.

“Pihak pusat khidmat DUN dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) pula akan memantau keadaan mereka dari masa ke masa,” katanya ketika ditemui Urusetia penerangan Darul Iman (UPDI) di lokasi kejadian, baru-baru ini.

Mengimbas kembali kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.20 pagi itu, Roslina yang baru kembali dari membeli keperluan dapur di kedai berhampiran berkata, dia bergegas masuk ke dalam rumah apabila mendapati api marak dari arah meter elektrik rumahnya.

“Ketika itu api mula menyambar, tetapi syukur saya berjaya menyelamatkan anak-anak saya,”katanya sambil menyatakan seekor kucing peliharaanya yang diletakkan dalam sangkar gagal diselamatkan.
Maklumat Roslina sedang diambil oleh pegawai DUN.

Menurut Roslina, kedua-dua anaknya yang berusia 10 dan 12 tahun itu sedang tidur berikutan kurang sihat dan tidak bersekolah pada hari tersebut manakala suaminya, Ramli Malik pula keluar bekerja sebagai tukang rumah.

Dalam kejadian tersebut, Roslina memaklumkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana gagal menyelamatkan sebarang dokumen penting dan barangan lain.

“Motosikal yang diletakkan di garaj juga hangus terbakar,” kata ibu kepada empat orang anak itu.

Musibah tersebut menyebabkan Roslina sekeluarga kini menumpang sementara di rumah keluarga mentuanya di Kampung Padang Pulut.

Bagi masyarakat yang ingin membantu meringankan bebanan keluarga mangsa, bolehlah menyampaikan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1100741000082174 atas nama Ramli Malik.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: