Monday, 4 February 2019

Pusat Sukan Dan Rekreasi Baharu Di Tok Jiring

SHARE

Oleh : Mohd Zukifli Mat

KUALA NERUS, 4 Februari- Penduduk Dewan Undangan Negeri(DUN) Tepoh khususnya di kawasan Tok Jiring akan terus menikmati pembangunan dalam kawasan itu apabila sebuah pusat sukan baharu akan dibina dalam masa terdekat.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, berkata cadangan tersebut akan dibawa kepada  pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu secepat mungkin supaya ia benar-benar direalisasikan.

"InsyaAllah, pada tahun 2019 kita akan cuba menghidupkan kawasan padang Tok Jiring ini sebagai pusat aktiviti yang lebih meriah untuk kemudahan semua lapisan masyarakat.

“Lokasi yang terbiar ini kita akan hidupkan dengan pemusatan aktiviti kesukanan dan rekreasi penduduk kerana sebelum ini, hanya padang sintetik dan gelanggang takraw sahaja yang berfungsi,”ujar beliau sejurus selepas lawatan bersama UPEN, Pejabat Daerah & Tanah Kuala Nerus dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, agenda pembangunan ini akan dimulakan secara berfasa bermula tahun ini, manakala projek berskala besar akan dibentangkan kembali oleh pihak MBKT untuk dipertimbangkan oleh pihak UPEN.

“Antara cadangan yang akan diperkenalkan adalah gelanggang takraw dan bola tampar berbumbung, lapang sasar memanah, taman permainan kanak-kanak, lampu limpah, padang bola sintetik, tandas, surau terbuka dan beberapa komponen yang lain sebagai pelengkap,”ujarnya lagi.

Menurut Hishamuddin, aktiviti terdekat yang bakal dilancarkan adalah Akademi Bola Sepak untuk kanak-kanak yang bakal dikendalikan oleh bekas pemain bola sepak negeri yang juga merupakan anak jati Tok Jiring, Rosdi Talib.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: