Tuesday, 12 February 2019

Pusat Pemulihan Dadah Holistik Dibina Tahun Hadapan

SHARE
Mohd Nor Hamzah berkata pusat berkenaan akan dibina tahun hadapan.
KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Kerajaan Terengganu akan membina pusat pemulihan dadah berkonsepkan perkampungan bermula tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pusat yang akan dibina sedang dalam kajian pihak kerajaan bersama-sama dengan beberapa institusi seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).

Jelasnya lagi, kerajaan negeri telah memperuntukkan bajet sebanyak RM 200 ribu kepada pihak berkenaan untuk melakukan kajian terperinci serta mencari tempat yang sesuai untuk membina perkampungan tersebut.

"Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM 200 ribu, atas asas untuk membuat kajian terlebih dahulu.

"Kita telah mendapat kerjasama daripada UNISZA (pensyarah), pejabat hal ehwal agama, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan juga Agensi Anti Dadah Kebangsaaan (AADK) sendiri untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah itu," katanya.
Mohd Nor Hamzah ketika bersiaran di Studio TV Darul Iman.
Beliau berkata demikian ketika hadir sebagai panel dalam wawancara khas segmen 'Kabbo Royak' siri keenam di Studio TV Darul Iman hari ini.

Menurut beliau, pusat pemulihan dadah yang mengguna pakai konsep perkampungan itu akan menggabungkan beberapa elemen seperti rohani dan fizikal yang diyakini mampu memulihkan penagih.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung menambah, pusat pemulihan itu juga akan bertindak membina kehidupan yang baharu buat penagih selepas mereka berjaya dipulihkan daripada najis dadah.

“Tempat pemulihan dadah ni dalam bentuk perkampungan, maksudnya kita akan gabungkan semua elemen, bukan sahaja ‘spiritual’ dan rawatan biasa.

“Dalam kerjaya mereka kita nak sediakan, kemungkinan bagi yang minat membaiki (mekanik), ada latihan vokasional, seeloknya mereka membina kehidupan mereka di situ” katanya.

Pusat pemulihan dadah secara holistik merupakan salah satu manifesto yang ditawarkan PAS Terengganu kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: