Saturday, 9 February 2019

Pusat Khidmat DUN Telemong Santuni Orang Asli

SHARE
Mohd Safari menyerahkan bantuan keperluan kepada orang asli.
Oleh: Shahril Aswad

HULU TERENGGANU, 9 Februari - Seramai 30 petugas Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong melalui pengalaman berbeza apabila dapat menyantuni masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut.

Program Tautan Kasih bersama masyarakat Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua, Hulu Terengganu semalam, bertujuan menyantuni masyarakat Orang Asli di samping membina persaudaraan antara badan kerajaan itu dengan masyarakat tersebut.

Menurut Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu, program tanggungjawab sosial itu bertujuan mendekati masyarakat berkenaan dengan pelbagai aktiviti dijalankan.

"Program kali pertama yang dianjurkan ini mensasarkan seramai kira-kira 140 ketua isi rumah dan lebih kurang 600 orang penduduk di kampung berkenaan.


"Selain beramah mesra, kita juga ingin membantu meningkatkan kesedaran Orang Asli terhadap aspek pendidikan, kesihatan, kebersihan dan kerohanian," katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Tambah Mohd Safari lagi, selain dengan komuniti Orang Asli, program itu juga dapat membina hubungan lebih kukuh antara Pusat Khidmat dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) setempat.

Program berkenaan berjalan lancar dan mendapat kerjasama kukuh daripada badan aktivis kemanusiaan Iman Care, Team 4x4 PAHAT dan Pemuda DUN Telemong.

Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Telemong, Ustaz Yusuf Abdullah, Penghulu Mukim Jenagor, Effy Hamsha, Pengerusi IMAN Care, Ustaz Nasrun Abdullah, Pengerusi PAHAT 4x4, Mohd Shariff Jusoh dan Pegawai JAKOA Sungai Berua, Ghazali Ngah.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: