Saturday, 2 February 2019

Pusat Al-Quran Braille Terengganu Akan Dibangunkan

SHARE

KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Pusat Al-Quran Braille di setiap daerah, mengikut zon akan mula dibangunkan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya sedang mengenal pasti tapak yang sesuai dan organisasi yang akan melaksanakannya.

“Pusat pembelajaran (al-Quran) braille di setiap daerah telah pun dibentangkan bajetnya dan akan dibangunkan di dua daerah.

“Yang pertama di Besut dan kedua di Dungun. Di Besut adalah untuk penduduk Besut dan Setiu dan di Dungun adalah untuk penduduk Kemaman dan Dungun,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sesi ‘Engagement’ Pindaan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) peringkat negeri Terengganu di Dewan Teater, Wisma Darul Iman kelmarin.

Oleh itu menurut Wan Sukairi, kedua-dua pusat tersebut adalah tambahan premis seumpamanya yang telah beroperasi di Seberang Takir.

“Jadi kita akan  tambah  lagi dua dan pelaksanaan program ini, sekarang (dengan) bantuan  daripada Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS),” ujarnya.

“Insya-Allah kita jangkakan dalam masa  beberapa bulan lagi mudah-mudahan kita dapat  menyelesaikan apa-apa perkara  berkait pembinaan dua pusat al-Quran braille,” ujarnya.

Ketika melawat Pusat Al-Quran Braille di Seberang Takir pada 29 Mei tahun lalu, beliau berkata, pihak kerajaan akan mengambil cakna apa yang disuarakan oleh golongan istimewa yang cacat penglihatan.

Katanya, kerajaan juga akan mencari ikhtiar untuk membantu golongan terbabit mencari sumber pendapatan sendiri.

“Mereka akan dibantu mencari sumber pendapatan tanpa perlu bergantung sumbangan daripada pihak kerajaan ataupun Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM),” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: