Sunday, 17 February 2019

Program Gotong-Royong Cegah Jenayah, Basmi Aedes Satu Padu Komuniti

SHARE

Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN, 16 Februari - Aktiviti gotong-royong cegah jenayah dan membasmi aedes dilihat berjaya menyatupadukan komuniti serta mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan warga kampung.

Ahli Parlimen Dungun, Haji Wan Hassan Wan Ramli berkata, keterlibatan masyarakat bersama anggota keselamatan dan penguatkuasa seperti pasukan polis adalah suatu yang wajar dipuji dan erlu terus diperkasakan.

“Saya amat gembira dengan kehadiran masyarakat hari ini bersama-sama Ketua Polis Daerah Dungun  yang banyak membantu menjaga keamanan dan kesejahteraan penduduk Dungun.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Polis Dungun kerana berjaya mendapat kembali motosikal saya yang hilang hasil kerjasama maklumat orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan sempena Program Gotong Royong Cegah Jenayah (G-KOM) dan Gotong Royong Basmi Aedes di Kampung Sura Melati, Sura, di sini, semalam.

Turut hadir,  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Haji Wan Hapandi Wan Nik, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Haji Lizan Che Mat, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, Asisten Supritendan Mohd Abd Aziz Mohd, Pegawai Perpaduan Daerah Dungun, Puan Mazilawati Tengku Mohd dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Jalan Melati, Mohd Amran Che Mood.

Sebanyak 2,000 kilogram sampah berjaya dikumpul melalui program gotong-royong yang dijalankan bermula jam 7 pagi itu.


Semantara itu, Pegawai Daerah dan Tanah Dungun,  Haji Rosdi Awang berkata beliau ingin melihat MPKK dan KRT di Dungun semakin maju dan dapat melaksanakan program yang dirancang bersama agensi kerajaan negeri.

“Suka saya sebutkan saya ingin melihat kemajuan setiap MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) dan KRT dalam melaksanakan program program dan sangat mengalu-alukan kerjasama dengan agensi agensi kerajaan negeri,” katanya.


Pengerusi MPKK Kampung Sura Melati, Haji Azahar Mohammad berkata, melalui program program kemasyarakatan seperti itu mampu memupuk perpaduan di masyarakat.

“Kita percaya dengan aktiviti serta program yang dijalankan dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat serta mengeratkan hubungan,” katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: