Saturday, 2 February 2019

Program Bedah Buku Bersiri Meriahkan Besut Terengganu

SHARE

Dr Riduan (tengah) ketika membedah buku peperangan Rasulullah.
Oleh: Jusmawari Jusoh

BESUT, 2 Februari - Program Bedah Buku bersiri yang diadakan di Besut dan mensasarkan masyarakat akan dilaksanakan sebulan sekali.

Pegawai Penyelaras Parlimen Besut, Dr Riduan Mohd Nor berkata, program bedah buku yang akan dilaksanakan itu akan menjadi program utama di Perpustakaan Awam Besut.

Jelasnya lagi, program yang akan dijalankan itu bertujuan untuk mendidik masyarakat supaya sentiasa membiasakan diri dengan amalan membaca dan secara tidak langsung juga akan memeriahkan lagi suasana perpustakaan tersebut.

"Insya-Allah,kita akan buat program seperti ini sebulan sekali di Perpustakaan Awam Besut ini.

"Ianya bagi menggalakkan pengunjung-pengunjung membiasakan diri (dengan buku) dan sekali gus dapat menghidupkan suasana perpustakaan ini dengan baik," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perpustakaan (ALP) Awam Negeri Terengganu berkata demikian selepas menjayakan Program Bedah Buku Peperangan Rasulullah di Perpustakaan Awam Besut, Besut semalam.

Turut hadir, Exco Muslim Care, Nazmi Karim serta pegawainya, Taufik Aliph Mohd Nor.
Antara peserta yang menyertai program bedah buku.
Peserta program itu dianggarkan mencecah 300 orang yang melibatkan peserta daripada beberapa buah sekolah dan orang awam di kawasan sekitarnya.

Program yang julung-julung kalinya diadakan selepas bertukar kerajaan itu memperlihatkan kesungguhan tampuk pimpinan Kerajaan Negeri Terenganu untuk menjadikan rakyatnya suka membaca.

Kerajaan negeri sememangnya komited untuk menggalakkan budaya membaca dan cintakan ilmu dalam kalangan rakyatnya melalui program-program yang telah dan sedang dilaksanakan seperti Kuliah Dhuha.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: