Sunday, 3 February 2019

Peserta Bakti Siswa 3.0 Sahut Kempen Terengganu Bersih

SHARE

Oleh: Aslam Wira

MARANG, 3 Februari - Seramai 60 orang peserta Bakti Siswa 3.0 daripada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Perak menyahut Kempen Terengganu Bersih di Pantai Pulau Kekabu, di sini.

Peserta yang terdiri daripada Kelab Tabung Haji (TAHA) tersebut berkampung di Rhu Rendang selama empat hari bermula 1 Februari lalu dan telah bersama-sama turun ke kawasan pantai untuk membersihkan sampah sarap.

Aktiviti kemasyarakatan tersebut disambut baik apabila orang awam turut memberikan kerjasama dengan membantu mengutip dan meletakkan sampah ke dalam plastik yang dibawa oleh peserta.

Program anjuran bersama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu juga memberikan manfaat kepada kawasan rekreasi tersebut yang mula terkenal dan menjadi tumpuan orang ramai terutama pada musim cuti sekolah.


Pegawai Khas ADUN, Wahad Osman ketika menyambut peserta program tersebut berkata, beliau mewakili Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengucapkan terima kasih kepada pelajar dan pihak universiti kerana memilih Rhu Rendang sebagai lokasi program itu.

Turut serta dalam program membersihkan kawasan pantai adalah Kakitangan Pejabat DUN Rhu Rendang, Ameerah, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Pemuda PAS Dun Rhu Rendang.

Di samping itu, para pelajar dibawa melawat ke kilang memproses keropok dan Kilang Membuat Dodol sebagai mempromosikan makanan tradisional yang terdapat di DUN Rhu Rendang.


Peserta bakti siswa itu juga turut menyertai program Terengganu Hijab Day yang diadakan di Batu Buruk bersama Yang Berhormat ADUN Wanita, Zuraida Md Noor.

SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: