Sunday, 10 February 2019

Abdul Bari Bakal Terima Anugerah

SHARE

Ustaz Wan Sukairi ketika ditemui pemberita di perkarangan  Jabatan Perubatan Forensik HSNZ Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 10 Februari - Kerajaan Negeri Terengganu dijangka akan memberi anugerah tertentu kepada keluarga almarhum Abdul Bari Asyraf Mohd Mustafa, 31, kerana jasanya menyelamatkan empat mangsa dalam kejadian kereta terjunam ke sungai dekat Pulau Warisan di sini kelmarin.

Serentak itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, beliau sendiri akan mengusulkan anugerah tersebut dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Rabu ini.

"Saya sendiri akan mengusulkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, hari Rabu ini untuk memberikan anugerah yang tertentu atas kejayaan dan juga di atas sifat terpuji yang telah pun dilakukan oleh beliau yang sepatutnya dicontohi oleh semua khususnya belia dan juga rakyat negeri Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Ayah mangsa, Mohd Mustafa (tengah) ditemubual pemberita di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik HSNZ Kuala Terengganu.
Turut hadir menziarahi mayat mangsa di jabatan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud  Said, Ketua Jabatan Pengurusan Korporat Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Wan Mohd Faizul Wan Abas, ahli keluarga mangsa dan sahabat handainya.

Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, tiga rakan penyelamat lain akan turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan sama ada penghargaan diberikan untuk mereka atau sebaliknya.
Azlimin (tengah) membuat kenyataan kepada pemberita mengenai kejadian lemas berhampiran Pulau Warisan.
"Berkenaan dengan tiga orang penyelamat lain (dalam insiden tersebut) akan turut dibincangkan dalam mesyuarat majlis itu pada Rabu ini.

"Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada tiga orang lagi yang berusaha untuk menyelamatkan mangsa-mangsa yang terlibat," ujarnya.

Katanya, bagi pihak kerajaan negeri, beliau mengucapkan takziah kepada ayah mangsa, Haji Mohd Mustafa (Pak Awang) dan seluruh keluarga beliau di atas kehilangan anaknya yang dipercayai lemas selepas menyelamatkan mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.
Keranda jenazah Abdul Bari Asyraf dibawa keluar dari bilik mayat Jabatan Perubatan Forensik HSNZ Kuala Terengganu pagi tadi.
Abdul Bari Asyraf Mohd yang lemas ketika membantu menyelamatkan empat sekeluarga dalam insiden pacuan empat roda terjunam ke muara Sungai Terengganu itu kelmarin, ditemui pagi ini.

Mayat ditemui di muka kuala Kampung Tanjung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan orang awam jam 7.12 pagi ini,  tidak jauh dari lokasi mangsa dipercayai lemas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, mayat mangsa ditemui terapung dan dinaikkan sebelum dibuat pengecaman oleh ahli keluarga.

“Mayat diserahkan kepada polis pada 7.50 pagi untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mayat Abdul Bari Asyraf dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik sejurus kemudian untuk dimandi dan dikafankan.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, Abdul Bari Asyraf yang ketika itu sedang memancing bersama rakannya, terjun ke dalam muara sungai selepas melihat kereta pacuan empat roda itu terjunam.

Selain beliau, dua lagi orang awam turut melakukan perbuatan sama bagi menyelamatkan empat beranak di dalam kereta terbabit.

Empat beranak itu bagaimanapun selamat dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan.

Operasi SAR juga membabitkan orang awam malah ia menarik perhatian pemimpin kerajaan negeri hingga menganjurkan solat hajat malam tadi sebagai usaha pencarian Abdul Bari Asyraf.



SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: