Monday, 4 February 2019

Permata Wajar Bantu Promosi Keindahan Terengganu

SHARE

Ghazali menyampaikan pembahagian keluarga angkat buat mahasiswa PERMATA.

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 3 Februari - Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) diseru membantu mempromosikan keindahan Terengganu, khususnya Bukit Besi sebagai bandar perlombongan yang bersejarah dan menarik.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, penglibatan Permata mengangkat nama negeri dalam pelbagai aspek amat dialu-alukan kerajaan negeri.

"Ramai masih tidak mengetahui bahawa Bukit Besi pernah mengecap zaman gemilang sebagai bandar 'elit' semasa petumbuhan pesat aktiviti perlombongan.

“Banyak kesan sejarah tersebut dapat dilihat melalui bangunan-bangunan yang ada hari ini,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Tautan Rahmat 2.0 yang dianjurkan oleh Permata Universiti Sains Malaysia (USM) di Bukit Besi, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Ahmad Bakhir Chik yang membantu menguruskan keperluan program tersebut.

Dalam program berkenaan, seramai 42 mahasiswa terdiri anak jati Terengganu diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing yang dipilih daripada penduduk tempatan bagi mengikuti program selama tiga hari itu.


Kerajaan negeri harap mahasiswa dapat bersama-sama menyebarkan keindahan dan keunikan negeri Terengganu.

Ghazali berharap mahasiswa berkenaan dapat menyaksikan sendiri keindahan dan keunikan Bukit Besi dan meuar-uarkannya kepada masyarakat di luar.

“Pelbagai perkara boleh diterokai antaranya perkampungan lama yang menarik iaitu Kampung Besul, Tasik Puteri dan juga air terjun yang begitu menarik.

“Gunakan pengalaman baharu yang diperolehi sepanjang berada disini untuk diceritakan kepada orang luar supaya Bukit Besi akan lebih dikenali," katanya.


Dalam pada itu, Yang Dipertua Permata USM, Amirul Syahidi Majid berkata, Tautan Rahmat 2.0 merupakan kesinambungan dari program yang terdahulu.

“Adalah diharapkan peluang berada di sini selama tiga hari akan diguna sebaik mungkin untuk mahasiswa menerokai segala tempat yang menarik terdapat di sini selain dapat menyantuni penduduk tempatan dengan pelbagai program yang telah diatur,” katanya.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: