Monday, 18 February 2019

Perantau Terengganu Layak Terima Manfaat TUGAS

SHARE
Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman.
IPOH, 18 Februari - Anak Terengganu yang menetap ataupun bekerja di luar negeri layak untuk memohon pinjaman Tabung Usahawan Sejahtera Terengganu (TUGAS).

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, usahawan ataupun mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan yang berada di luar Terengganu layak untuk memohon pinjaman ini.

Jelasnya, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) pada kali ini telah menyediakan pinjaman perniagaan tanpa faedah buat semua perantau yang layak.

"Alhamdulillah dalam Bajet 2019, kerajaan baharu telah memperuntukkan RM 15 juta.

"Sebelum ini usahawan (anak) Terengganu yang berada di perantauan tiada peruntukan, tiada bajet dari kerajaan negeri sebelum ini," ujarnya.
Keropok lekor dan nasi dagang antara hidangan istimewa.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Perantau Terengganu Di Perak, di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini semalam.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, Ketua Jabatan Pengurusan Korporat Terengganu Strategic Integrity Institute (TSIS), Wan Faizul Wan Abas, Timbalan Presiden Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU), Dr Zakri Othman serta presiden PERANTAU Perak, Nuri Al-Amin.

Tambah beliau, sesiapa sahaja perantau yang lahir di Terengganu layak memohon, tetapi dengan syarat alamat tempat mengundi di Terengganu.

"Tetapi dengan syarat mesti daftar (alamat) mengundi di Terengganu.

"Siapa yang mengundi di Terengganu maknanya dia layak untuk memohon pinjaman ini," tambah beliau.
Antara yang hadir dari jauh.
Untuk rekod, Kerajaan Terengganu telah melancarkan TUGAS pada 29 Januari yang lalu di Dewan Konvensyen YPU Kuala Terengganu.

TUGAS merupakan inisiatif yang dikelola oleh YPU untuk memberi pinjaman tanpa faedah kepada para usahawan anak Terengganu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: