Thursday, 7 February 2019

Peniaga, Persatuan Perlu Sepakat Perkasa Pasar Gong Pauh

SHARE
Peniaga manfaatkan majlis dialog untuk menyuarakan pendapat.
KUALA TERENGGANU, 7 Februari - Peniaga-peniaga Pasar Borong Gong Pauh dan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT) perlu mencapai kesepakatan bersama jika ingin merealisasikan perubahan kepada Pasar Borong Gong Pauh.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Negeri Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kedua pihak perlu duduk semeja untuk memutuskan yang terbaik bagi pusat perniagaan berkenaan.

“Kita berkumpul dengan satu hasrat untuk memperkasa Pasar Gong Pauh dengan mendengar pandangan para peniaga.

“Kita juga mendengar beberapa cadangan daripada wakil persatuan dan menyambut baik hasrat mereka untuk meningkatkan pengeluaran dan memberi kemudahan kepada mereka untuk menikmati fasiliti lebih baik di pasar berusia belasan tahun ini,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mempengerusikan Majlis Dialog Memperkasa Pasar Borong Gong Pauh di lokasi tersebut, hari ini.


Majlis berkenaan dianjurkan Pusat Khidmat DUN sebagai medium peniaga menyuarakan luahan dan pandangan mereka tentang hasrat PPPKMT untuk mengambil alih pengurusan pasar daripada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Wan Sukairi turut berharap kedua-dua pihak dapat memutuskan kata sepakat dalam menjagakan hasrat berkenaan sambil menyatakan wakil rakyat atau kepimpinan negeri hanyalah orang tengah dalam urusan tersebut.

“Saya bertindak sebagai pemudah cara antara peniaga, pihak persatuan dan juga  MBKT yang menguruskan pasar ini memandangkan ia terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam.

“Bagaimanapun, harapan kami supaya isu-isu tertunggak seperti yuran sewa, peniaga ‘haram’ yang memenuhi kawasan hadapan dan isu-isu berkaitan kenderaan keluar masuk, kebersihan dan infrastruktur dapat diselesaikan dengan kesepakatan ini,” katanya.

Majlis tersebut mendapat sambutan baik dengan kehadiran majoriti peniaga dan pihak-pihak berkaitan selain kehadiran Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Mohamed@Hashim.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: