Thursday, 14 February 2019

Penantian 40 Tahun Berakhir

SHARE


Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika merasmikan jalan Kampung Jebak Puyuh.
SETIU, 14 Februari - Penantian selama 40 tahun penduduk Kampung Jebak Puyuh untuk mendapat jalan raya yang baik berakhir apabila infrastruktur baharu bernilai RM435,000 siap digunakan pertengahan bulan lalu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata,  keperluan asas yang penting dan menjadi nadi penghubung rakyat sekitar yang dibina sepanjang 1.5 kilometer itu memberi kelegaan dan keselesaan kepada penduduk selepas sekian lama menanti.

Katanya, kerajaan negeri akan berusaha sebaik mungkin untuk menunaikan tanggungjawab memastikan setiap rakyat mendapat kemudahan yang sepatutnya.

“Menjadi satu tugas besar dan penting bagi kepimpinan kerajaan untuk melaksanakan amanah.

“Supaya rakyat yang ada di bawah negeri Terengganu ini berada dalam keadaan baik dan sempurna, dapat menikmati kemudahan dengan baik,” jelasnya.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) menyerahkan jadual 5A kepada peserta RTB sambil diperhatikan oleh Dr Azman (kanan).

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jalan Kampung Jebak Puyuh dan Penyerahan Jadual 5A kepada peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kawasan Petai Patah mukim Kerandang, di Jebak Puyuh, Jabi, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam majlis ini ialah Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Dato' A. Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Khuzaini Ab. Rahman, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Beliau turut berkata, kerajaan negeri akan terus memantau keperluan asas yang menjadi keperluan dan menimbulkan masalah kepada rakyat di setiap tempat seluruh Terengganu.

Dalam masa yang sama menteri besar juga berharap agar rakyat turut membantu pihak kerajaan untuk melaporkan sebarang kekurangan kepada kemudahan yang ada untuk diambil tindakan segera oleh kerajaan.

"Ini adalah usaha kecil, permulaan setakat ini dan yang mampu, selebihnya kami akan kenal pasti (kekurangan) di tempat lain.

"Saya juga menyeru kepada rakyat Terengganu yang berada dalam situasi yang sama, sekiranya ada keperluan (yang kurang) agar melaporkan kepada pihak terbabit untuk tindakan lanjut ," tambah beliau.
Gimik perasmian dengan melepaskan 4 ekor burung puyuh menandakan penantian 40 tahun berakhir.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: