Monday, 18 February 2019

Pemohon LMTS Digesa Lengkapkan Dokumen

SHARE

Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 18 Februari - Pemohon Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera(LMTS) diingatkan supaya melengkapkan permohonan mereka dengan menyediakan dokumen yang diperlukan sebagaimana arahan yang tertera dalam laman sesawang idana.terengganu.gov.my.

Sehingga hari ini, hanya 30 peratus pemohon LMTS yang telah melengkapkan permohonan mereka. Manakala, selebihnya gagal berbuat demikian.

Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(I-MITS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang, Muhammad Fahmi Kamaruddin memaklumkan, sejumlah pemohon yang gagal melengkapkan permohonan didapati hanya mengisi borang dalam talian tanpa mengikut arahan seterusnya.

"Sepatutnya, selepas mengisi permohonan secara 'online', pemohon perlu menyediakan salinan 'print out' dan dihantar kepada ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bersama dokumen yang diperlukan iaitu salinan kad pengenalan dan slip gaji jika ada.

"Bagi pemohon yang berstatus pelajar, surat bukti dari pusat pengajian perlu disertakan dan bagi Golongan Kurang Upaya(OKU), pastikan salinan kad OKU dikemukakan," katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) di pejabatnya, baru-baru ini.

Menurut Fahmi, pihak MPKK akan menguruskan permohonan yang diterima selepas segala dokumen yang diperlukan lengkap dihantar.

"Jika pemohon tidak menghantar dokumen yang diperlukan ke MPKK, sistem tidak boleh dikemas kini dan terbatal apabila luput tarikhnya. Ini amat merugikan pemohon sendiri," jelasnya.

Beliau mengingatkan permohonan tersebut akan tamat pada 1 Mac 2019 dan menambah bahawa kuota permohonan untuk Dungun berjumlah 3,800 tempat dan bagi DUN Rantau Abang, disediakan kekosongan untuk sekitar 800 sehingga ke 1,000 orang.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: