Saturday, 23 February 2019

Pemohon e-Perumahan Sabar Tunggu Maklum Balas

SHARE

KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Kerajaan negeri berharap rakyat Terengganu  yang memohon Rumah Mampu Milik secara atas talian (e-Perumahan) bersabar sekiranya belum mendapat apa-apa maklum balas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, setiap permohonan yang didaftar secara 'online' dan tidak ditolak dalam sistem tersebut bermakna ia telah diterima.

“Mana-mana yang tidak ditolak (oleh sistem) komputer memang lulus dan akan direkodkan.

“Kalau tak cukup syarat awal-awal lagi  ditolak dalam komputer. Sekarang ini mana-mana yang diluluskan dalam online  luluslah untuk permohonan dan diterima oleh pejabat kita,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-17 di Pejabat Khairunisa',  Batu Buruk, di sini, kelmarin.


Menurutnya, Pejabat Setiausaha Kerajaan (Perumahan) hanya akan menghubungi pemohon untuk ditemuduga apabila terdapat rumah yang telah siap dibina.

“Bila ada rumah untuk diagihkan kita akan panggil temuduga setelah kita tapis mengikut kelayakan dalam sistem.

“Lepas panggil temuduga mana yang layak kita akan hubungi semula untuk buat penyerahan kunci. Kalau kita panggil sekarang, rumah tidak ada, tidak guna juga. Kita akan panggil bila rumah ada  untuk diagihkan,” ujarnya.

Justeru, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua warga Terengganu yang telah membuat permohonan dan memberi jaminan semua data pemohon disimpan dalam rekod.

“Kita akan bertindak bila ada rumah kosong dalam daerah yang dipohon,” tambah beliau.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: