Saturday, 9 February 2019

Orang Awam Hilang Ketika Selamatkan Penumpang Pikap Terjunam Ke Sungai

SHARE
Pasukan penyelamat giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa. Foto - Solahuddin Al-Idrus
Oleh: Syed Abdul Rahman

KUALA TERENGGANU, 9 Feruari - Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan lima penumpang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam Sungai Terengganu di Pulau Warisan, Kuala Terengganu pada 9.30 malam tadi.

Mangsa, Abdul Bari Asyraf, 31, dari Kampung Panji, Kuala Terengganu sedang memancing bersama seorang rakannya sebelum Mitsubishi Storm diparkir di kawasan berhampiran tiba-tiba menggelungsur dan terjunam ke dalam sungai.

Selain Bari, dua lagi lelaki turut terbabit menyelamatkan penumpang kenderaan itu, bagaimanapun hanya kedua-dua lelaki itu selamat naik ke darat.

Kesemua lima mangsa terbabit dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu telah mengesahkan kejadian yang berlaku.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM Terengganu, Mohd Mazimi Mohamad berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan pada 9.45 malam tadi.

"Kita telah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 9.45 malam di mana dilaporkan ada sebuah pacuan empat roda terjunam ke dalam sungai.

"Kita gerakkan dua balai iaitu Balai Kuala Terengganu dan Jalan Kota dan dalam masa lima minit kita sampai di lokasi.

"Sewaktu sampai, lima orang mangsa telah berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di sekitar sungai tersebut.

"Namun, didapati seorang mangsa yang cuba menyelamatkan penumpang dikhuatiri lemas," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian awal pagi tadi.

Pelbagai agensi terdiri daripada 24 anggota pelbagai jabatan dan agensi termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Terengganu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu terlibat dalam pencarian.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan termasuk melalui kaedah 'water surface' dan 'diving'.

Katanya, setakat ini, kesukaran operasi mencari mangsa dan pacuan empat roda tersebut adalah pada arus muara tersebut.

Difahamkan, sebelum kejadian isteri pemilik pikap itu yang berusia 50-an mahu mengalihkan kenderaan itu tanpa menyedari ia berada dalam posisi gear mengundur sebelum menghidupkan enjin.
Foto - Abas Dany
Dalam tumpuan sama, mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed yang turun meninjau di lokasi kejadian berkata, setakat jam 12.30 pagi tadi, operasi SAR masih berjalan.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kita mengharapkan mangsa dapat segera ditemui insya-Allah dan kita akan mengambil cakna kebajikan mangsa yang terlibat," ujarnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: