Sunday, 17 February 2019

MB Terengganu Cadang Lantik Pengerusi Bersama MTNg

SHARE
.Dr Ahmad Samsuri menyerahkan geran hakmilik kepada salah seorang peserta  hari ini
KEMAMAN,  17 Februari - Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya melantik pengerusi bersama dalam Majlis Tindakan Negeri (MTNg) bagi negeri-negeri yang tidak berada di bawah Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, cadangan itu bagi memudahkan penyelarasan antara Kerajaan Pusat daengan kerajaan negeri terutama dalam pengurusan projek yang berada di bawah pentadbiran Pusat termasuk Wang Tunai Petroleum (WTP).

"Dalam pertemuan baru-baru ini, saya telah mengusulkan kepada PM supaya menerima cadangan untuk melantik Menteri Besar dan seorang menteri di peringkat Pusat bagi negeri yang tidak berada di bawah PH sebagai pengerusi bersama dalam MTNg.

"Tidak ada masalah peribadi tetapi ini untuk memudahkan penyelarasan antara negeri dan Pusat dan PM akan bawa cadangan ini ke mesyuarat kabinet untuk buat pertimbangan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Hakmilik Tanah Projek Felcra Kawasan Bukit Keladi(PLBP) Sungai Pergam, Mukim Hulu Jabur, Projek Felda Seberang Tayor Peringkat 3 Mukim Tebak Dan Felcra Seri Bandi Peringkat 3 & 4 Mukim Hulu Chukai, Daerah Kemaman, di Dewan Seri Amar, di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri, pembentukan MTNg itu adalah melalui arahan PM yang menyebut bahawa mana-mana negeri yang tidak berada di bawah pentadbiran PH akan dipengerusikan oleh seorang menteri kabinet manakala negeri-negeri yang berada di bawah PH akan dipengerusikan oleh MB masing-masing.

Beliau mengulas mengenai perjumpaan bersama Tun Mahathir di pejabatnya di Yayasan al-Bukhari, Kuala Lumpur yang turut dihadiri, Presiden PAS, Dato' Seri Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, kunjungan itu bagi berbincang mengenai pengurusan dan pentadbiran serta hubungan antara Pusat dan negeri, termasuk kaedah penyelesaian pembayaran WTP pada 2019.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata  pihak kerajaan negeri telah menerima pembayaran sepenuhnya WTP sebanyak RM193 juta baru-baru daripada Kerajaan Pusat.

"Hasil pembayaran itu, Terengganu menerima RM643 juta untuk royalti bagi 2018 dan saya ucapkan terima kasih kepada PM kerana mendengar rayuan kami,"katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: