Friday, 1 February 2019

MB Mahu Penyokong Terengganu FC Ambil Peluang Berhenti Rokok

SHARE
Dr. Samsuri mahu penyokong bina sikap positif.
KUALA TERENGGANU, 1 Februari - Menjelang perlawanan pembukaan Liga Super 2019 hari ini, penyokong pasukan Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) diingatkan untuk tidak merokok di dalam Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) ketika menonton perlawanan.

Bertepatan dengan pewartaan kawasan larangan merokok yang dikuatkuasakan bermula Januari tahun ini, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mahu penyokong pasukan negeri itu mengambil peluang itu untuk berhenti merokok.

"Inilah masanya rakyat negeri ini mengambil peluang mengurangkan penggunaan rokok lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang menekan semua pihak," katanya ketika ditemui pemberita pada pelancaran jersi pasukan TFC di Kompleks Sukan Gong Badak, baru-baru ini.


Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, kerajaan negeri menyokong penuh usaha ini dan berharap para penyokong dapat bersikap positif.

"Kita ingin memastikan persekitaran yang sihat dinikmati oleh semua kalangan masyarakat dalam negeri Terengganu terutamanya komuniti sukan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim turut memaklumkan, persatuan itu dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melaksanakan kempen kebersihan dengan menyediakan plastik sampah di tempat duduk penonton.

"Kami amat berharap penyokong dapat bersama-sama menjaga kebersihan stadium dalam usaha kita mewujudkan budaya positif di kalangan peminat TFC," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: