Thursday, 28 February 2019

Masalah Meter Air Kg Padang Ping Bakal Diatasi

SHARE
Ghazali meninjau meter air yang menjadi punca masalah penduduk kampung


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 28 Februari - Penduduk Kampung Padang Ping yang sekian lama terpaksa berkongsi satu meter satu meter air  untuk tiga rumah,  bakal menarik nafas lega apabila masalah itu mendapat perhatian pihak berkaitan untuk diatasi segera.

Seorang penduduk, Tuan Sharifah Tuan Man, 47, berkata perkara itu telah berlarutan lebih enam tahun sehingga menyukarkan pergerakan mereka lebih-lebih lagi pada waktu kecemasan.

"Air tersangat perlahan, dah banyak kali diadukan kepada Jawatankuasa Keselamatan Dan Keceriaan Kampung (J3K) zaman pemerintahan yang terdahulu.

"Dua, tiga kali datang periksa tapi tiada apa-apa sebarang tindakan pun dan sekarang kita adukan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang baharu dengan harapan ada tindakan susulan," ujarnya.

Tuan Sharifah berkata demikian kepada pihak media ketika Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkunjung ke rumahnya, baru-baru ini.

Ghazali  yang ditemui berkata, hasil tinjauan yang dilakukan telah mengenal pasti kampung berkenaan tidak memiliki bekalan air secara khusus dan menyukarkan urusan harian penduduk.

"Penduduk telah mengalami kesukaran dan masalah untuk pengairan tanaman, penternakan yang amat memerlukan bekalan air yang mencukupi.

" Pernah ada kes yang agak mendukacitakan, berlaku saat ingin memandikan jenazah terpaksa menunggu tekanan air yang tinggi untuk menguruskannya," ujarnya.

Beliau akan mencadangkan agar Jabatan Bekalan Air (JBA), Syarikat Air Terengganu Utara (SATU) untuk mewujudkan satu paip utama di laluan yang sesuai bagi kemudahan penduduk.

"Kemudahan ini sangat penting agar segala urusan penduduk dipermudahkan dalam mendapatkan sumber bekalan air," katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi MPKK Padang Ping, Nik Omar Nik Othman berkata, beliau berharap masalah yang meliputi berbelas-belas rumah didalam kampung ini akan terbela.

"Saya minta agar disegerakan permohonan bagi mendapat bekalan air yang lebih baik dan bertekanan tinggi, agar setiap rumah didalam kampung ini berada dalam keadaan selesa.

"Kita berharap sangat, agar pihak penyelaras dapat selesaikan permasahan ini dan saya bagi pihak penduduk amat berterima kasih atas kecaknaan ini,"katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: