Thursday, 21 February 2019

Mangsa Bencana MTL Di Terengganu Menurun

SHARE
Dr. Ahmad Samsuri (tengah) bersama Dr. Wan Azizah (tiga dari kiri).
KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Jumlah mangsa sepanjang bencana Monsun Timur Laut (MTL) di negeri Terengganu pada 2018/2019 menurun berbanding 2017/2018.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, Terengganu merupakan antara negeri pantai timur yang terjejas akibat bencana MTL yang terjadi pada hujung dan awal tahun.

Jelasnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi, berlaku penurunan yang ketara antara jumlah mangsa pada kali ini berbanding yang lalu .

Saya sukacita diberitahu bahawa tahun ini (2018/2019) berbanding tahun lepas (2017/2018), insiden bencana memang menurun.

Terengganu merupakan kawasan terkesan melibatkan 3,219 mangsa dan 47 pusat pemindahan (pada kali ini), berbanding pada 2017/2018, 7,483 mangsa terkesan, jadi ada penurunan,” ujarnya.
 
Penyampaian replika cek bantuan wang ihsan. 
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menghadiri Taklimat Khas Pasca Bencana MTL 2018/2019 dan Penyampaian Wang Ihsan Bencana Kepada Kerajaan Negeri Terengganu di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Hadir sama dalam taklimat itu ialah Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat turut berkata, kerajaan pusat telah menyalurkan wang ihsan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABN) kepada semua mangsa yang terjejas.

Bantuan yang berjumlah RM 525,500 akan diberikan kepada 1,051 Ketua Isi Rumah (KIR) menerusi Kerajaan Negeri Terengganu.

Antara mangsa bencana yang menerima bantuan.
“Kita bagi RM 525,500 kepada kerajaan negeri.

“Kita bagi sebagai pemberian bantuan wang ihsan kepada seluruh 1,051 keluarga, ini adalah mengikut kemampuan dan insiden bencana,” tambahnya.

Setiap penerima mendapat bantuan RM500 dengan penerima tertinggi dari daerah Hulu Terengganu (485 penerima), diikuti Kemaman (170 penerima), Marang (144 penerima), Kuala Nerus (104 penerima), Kuala Terengganu (90 penerima), Setiu (32 penerima) dan Dungun (26 penerima).

MTL yang berlaku sejak November 2018 dan berakhir sekitar Januari 2019 itu mengakibatkan kebanyakan daerah di Terengganu terjejas.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: