Thursday, 28 February 2019

Maklumat Peribadi Dijamin Kerahsiaan Oleh DOSM

SHARE

KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Segala maklumat peribadi hasil bancian yang dilaksanakan pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dijamin kerahsiaannya.


Pengarah DOSM Negeri Terengganu, Mohd Sofi Ali berkata, kerahsiaan tersebut dijamin sebagaimana yang termaktub di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989).

Katanya, DOSM mempunyai mekanisme tertentu bagi melindungi data individu dan segala maklumat yang dipungut sama ada menerusi borang soal selidik atau sebagainya adalah sulit dan tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak.

“Mana-mana inivididu yang mendedahkan data yang dipungut oleh DOSM boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sekiranya orang ramai merasa ragu dengan pegawai banci yang datang ke rumah, mereka boleh segera menghubungi jabatan kami untuk pengesahan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dalam slot Wawancara TV Darul Iman yang membincangkan tajuk ‘Data Penentu Kesejahteraan Rakyat’ di Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.

Dalam pada itu, Mohd Sofi berkata, DOSM sedang merancang untuk melaksanakan Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 meliputi seluruh isi rumah dan tempat kediaman seluruh negara yang dijangka akan diadakan Julai ini.

“Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia yang diadakan 10 tahun sekali amat penting bagi membolehkan kerajaan mengumpul data untuk melaksanakan dasar-dasar negara.


“Segala maklumat yang diperoleh melalui bancian itu akan dapat membantu dalam perancangan, penggubalan dan pelaksanaan dasar oleh kerajaan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: