Tuesday, 19 February 2019

LMS Untuk Aktiviti Pertanian, Penternakan

SHARE


Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 18 Februari- Orang ramai khususnya rakyat Negeri Terengganu boleh memohon tanah kerajaan yang terbiar menerusi  Lesen Menduduki Sementara (LMS) untuk diusahakan pelbagai aktiviti pertanian dan penternakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, LMS boleh dimohon untuk tujuan tanaman kontan, penternakan lembu, kambing, memelihara ayam, kolam ikan dan beberapa lagi aktiviti pertanian yang bersifat jangka pendek.

Katanya, tempoh masa LMS bergantung kepada keputusan oleh pihak berkuasa negeri yang membenarkan penggunakaan tanah kerajaan dengan kadar bayaran sewa yang tertentu.

“Bukan bermakna bila kita dapat dapat LMS, suatu masa nanti kita mesti akan dapat geran kekal. Walau kita tak nafikan, penerima LMS layak untuk memohon geran kekal,” jelasnya.

Beliau berkata demikian menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Dr Azman berkata, penggunaan tanah mestilah bertepatan dengan tujuan yang dimohon kepada LMS.

“Kalau kita mohon LMS untuk ternak kambing, maka tidak boleh tanam sawit. Sawit ialah tanaman kekal yang tidak diberi LMS.

“ Bila kerajaan nak guna semula tanah yang telah diberi LMS untuk apa-apa tujuan sekalipun seperti nak buat pembangunan, adalah menjadi hak kerajaan untuk tidak sambung semula LMS tersebut,” jelasnya lagi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negara Jabi itu juga, pihaknya banyak berdepan dengan kes penerima LMS yang menganggap itu adalah tanah mereka yang boleh diwariskan kepada anak-anak.

“Itu silap pemahaman. Tamat tempoh LMS maka tamatlah ia. Orang bagi pinjam guna untuk sementara saja,” kata beliau lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: