Monday, 25 February 2019

LED Untuk Halau Gajah

SHARE


KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Jabatan Perhilitan Terengganu akan menggunakan lampu LED (Light Emitting Diode) untuk menghalau gajah liar yang menimbulkan kebimbangan dan mengancam keselamatan penduduk di Kampung Syukor, Hulu Dungun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, selain LED, tembakan untuk menakutkan mamalia tersebut akan turut diguna pakai.

"Antara perancangan untuk meminimakan kesan konflik dan gangguan gajah  kepada penduduk, Perhilitan mengambil langkah menembak dan menghalau.

“Tembakan untuk menghalau gajah supaya  keluar  daripada kawasan  penempatan dan perkampungan penduduk supaya haiwan berkenaan masuk semula ke hutan simpan yang menjadi habitat mereka.

“Kita juga bincang untuk pemasangan lampu  LED berwarna biru yang mana lampu LED ini dipasang pada jarak sekitar 20 meter bagi setiap tiang di beberapa lokasi antaranya di Pelung, Setiu didapati berkesan untuk kita nak meminimakan gangguan gajah,” jelasnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat  Jabatan Perhilitan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perhilitan, Rahmah Illias dan Timbalannya, Ahmad Kamsul Alias.

Dr. Azman memberitahu, peruntukan RM15,000 akan diberikan kepada Jabatan Perhilitan bagi tujuan pemasangan lampu LED yang membabitkan jarak sekitar 20 kilometer (km).

Menurutnya, gangguan gajah liar kerap berlaku dan dikatakan sudah enam kali dalam tempoh seminggu yang lalu.

Katanya, situasi itu disebabkan Kampung Syukor yang terletak antara dua hutan simpan Pasir Raja dan Kuala Jengal.

“Pemasangan pagar elektrik yang telah dipasang di beberapa lokasi antaranya di Pelung dan serangan gangguan gajah apabila dipasang pagar elektrik memang berkurangan malah hampir tiada. Kita rasakan pemasangan pagar adalah satu kaedah paling efektif  tapi oleh kerana pemasangannya memerlukan kos yang agak besar, sepanjang 20km memerlukan sekitar RM600,000 (kos pemasangan) tidak termasuk lagi kos penyelenggaraan. 

“Maka kita segerakan dulu dari segi pemasangan lampu yang insyaAllah bajet akan ditanggung oleh pihak kerajaan negeri," ujarnya.

Kata beliau lagi, sekiranya langkah tersebut tidak berkesan, tindakan terakhir adalah dengan menangkap dan memindahkannya ke kawasan yang jauh daripada penempatan penduduk.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: