Sunday, 24 February 2019

Keunikan Laksa Kebok Dimartabatkan Semula

SHARE

Ghazali mencuba alat kebok untuk menghasilkan laksa di AMBS


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 22 Februari- Mungkin  ramai  yang tidak tahu bagaimana laksa dihasilkan pada zaman dahulu sebelum teknologi moden wujud dan mustahil generasi pada masa kini mengenali 'Laksa Kebok' yang merupakan tradisi turun temurun semenjak dahulu di Al-Muktafi Billah Shah (AMBS).

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Indah, AMBS, Zakiah Alias berkata, berbanding penghasilannya menggunakan mesin, penduduk di sini didedahkan dengan  kaedah lama menghasilkan laksa beras yang dikenali sebagai laksa kebok.

Katanya, kebok sejenis peralatan lama untuk membuat makanan iaitu laksa.Kebok dibuat dari tembaga seratus peratus.Kebok sangat popular untuk membuat laksa pada tahun 50an hingga tahun 80an.Sejak itu kebok telah menjadi salah satu barangan lama yang tak dikenali oleh genarasi sekarang.

"Yang dipanggil 'Laksa Kebok' kerana ianya dihasilkan dengan menggunakan 'kebok' yang digunakan oleh orang-orang terdahulu yang dilakukan secara bergotong royong.

" Mungkin generasi pada masa kini kurang mengenali, jadi kita naikkan semula agar generasi baru tahu dan kenal, secara tidak langsung dapat menyelami bagaimana cara-cara dan keunikan orang dahulu berbanding sekarang dimana sekarang hanya dilakukan dengan mesin, " ujarnya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita  pada Program Jalinan Kasih, yang dianjurkan oleh MPKK Taman Indah, AMBS, di sini semalam.

Menurutnya lagi, dua aktiviti telah dilakukan serentak pada hari berkenaan, selain membuat 'Laksa Kebok' secara bergotong royong, pihak MPKK juga membuat pengagihan pelekat alamat rumah kepada 312 buah rumah didalam taman berkenaan.

"Tujuan utama program jalinan kasih yang diadakan pada hari ini, kita nak matlamat serta fokus utama ialah untuk kita gabung jalinkan kerjasama antara semua penduduk kampong supaya tidak ada ruang atau halangan yang memisahkan MPKK dan penduduk setempat dalam menyelesaikan  segala permasalahan yang timbul secara bersama," jelasnya.

Sementara itu,  Penyelaras Dewan Undangan Negeri(DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman  memuji aktiviti yang dilakukan oleh MPKK Taman Indah  dalam mengeratkan hubungan diantara komuniti setempat.

"Ianya wajar dicontohi oleh MPKK didalam DUN Bukit Besi ini, sebagai contoh pelekat alamat, walaupun ianya 'simple' namun memberi kesan dalam mengeratkan hubungan diantara komuniti dan memberi impak positif yang berkekalan.

“Dengan peruntukan kos sebanyak RM 3,000 sebagaimana yang dimaklumkan Ahli Jawatakuasa MPKK  sendiri yang mengumpul dana dan juga hasil dari sumbangan orang ramai yang menyumbang kepada kejayaan program pada hari ini.

" Ini membuktikan apa jua program yang ingin dilaksanakan akan dapat dicapai dengan jalinan kerjasama, kerana itu pentingnya semangat ukhwah dikalangan ahli dibentuk dalam melakukan apa jua program, menjadi mudah serta senang," tegasnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: