Sunday, 3 February 2019

Kerajaan Terengganu Bayar Kos Ujian Lesen Motosikal

SHARE
Wan Sukairi Wan Abdullah.
KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Kerajaan negeri membayar semua kos membuat Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) 2019 termasuk perlindungan Insurans Takaful. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia,  Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bagaimanapun semua kos itu tidak termasuk makan minum, pengangkutan pergi dan balik dari rumah peserta ke Institut Memandu (IM) serta kos ujian ulangan jika peserta gagal dalam satu-satu ujian.  

Serentak itu, beliau menafikan dakwaan kononnya kerajaan negeri hanya membayar harga lesen motosikal sahaja sebanyak RM20 sebagaimana tular di media sosial baru-baru ini. 

Justeru beliau menasihatkan supaya orang ramai tidak percaya kepada tuduhan tersebut kerana ia sama sekali tidak benar.  

"Janganlah percaya kepada fitnah  orang yang sentiasa cemburu kepada kesungguhan Kerajaan Terengganu untuk memenuhi janji manifesto kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam status facebook beliau hari ini.  

Menurut Wan Sukairi, peruntukan yang diumumkan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk program LMTS 2019 berjumlah RM7,000,000. 

"Jika RM20 sahaja setiap orang maka kerajaan boleh memperuntukkan kepada 350,000 orang, tetapi program LMTS 2019 ini memperuntukkan untuk 25,000 orang.  

"Harga siling Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada IM untuk lesen motosikal B2 ini ialah RM350, tetapi Alhamdulillah kerajaan berjaya mendapatkan harga yang lebih rendah dengan persetujuan semua IM tanpa mengurangkan apa apa perkara pun dalam proses mendapatkan lesen tersebut," jelasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: