Sunday, 24 February 2019

Kerajaan Terengganu Adalah Kerajaan Rakyat- Dr. Ahmad Samsuri

SHARE
Program bual bicara MB Maghi Kapung Kite dikendalikan ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong. 


MARANG, 24 Februari - Rakyat Terengganu disaran berkongsi pendapat dan komentar bersama kepimpinan setempat dalam usaha membangunkan negeri.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan bahawa tanggungjawab membina Terengganu menjadi tanggungjawab semua.

“Kalau tiada daripada perkara sekecil-kecilnya, maka tiadalah kita yang dinamakan sebagai sebuah negeri. Oleh kerana itu, tentulah tuan-tuan dan puan-puan boleh memberikan pandangan serta cadangan.

"Silakan, mana yang dapat akan kita catat. Soal boleh buat sekarang atau esok lusa, itu kita akan aturkan kerana kami semua di barisan kepimpinan ini adalah pemegang amanah yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT nanti,” katanya ketika berucap dalam program ‘MB Maghi Kapung Kite’ di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), di sini, hari ini.

Program tersebut merupakan siri kedua Jelajah Penerangan Bajet 2019 yang menjadi medium pemimpin negeri menerangkan pelaksanaan pembangunan oleh kerajaan kepada rakyat.


MB Terengganu dan exco-exco tiba dengan menunggang motosikal ke Dewan MDM.

Sesi bual bicara berkenaan dihadiri sekitar 1,000 penduduk tempatan terdiri daripada pelbagai golongan.

Dr. Samsuri dalam ucapannya, membentangkan pelbagai perancangan kerajaan negeri kepada masyarakat selain mendengar pandangan dan komentar penduduk yang hadir.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui pemimpin yang telah dipilih pada pilihan raya umum lalu, memegang amanah besar daripada rakyat.

Abu Bakar Long gembira dengan kunjungan MB Terengganu. 
“Bukan kerana saya yang diamanahkan dengan tugas berat ini pandai buat kerja. Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri antara yang hadir hari ini, kami bukan orang pandai-pandai juga. Cuma, dalam satu kapal yang besar tentulah akan ada juragannya.

“Begitulah kita dalam kerajaan, perlu ada satu kumpulan yang dipilih oleh rakyat selepas Pilihan Raya Umum (PRU -14) baru-baru ini untuk memimpin kerajaan dengan matlamat memperoleh kebaikan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Ya Allah, berikanlah kepada Kami kebaikan di dunia, berikan pula kebaikan di akhirat dan lindungilah Kami dari seksa Neraka (Surah al-Baqarah: 201)”,” ulas beliau lagi.

Dalam program berkenaan, Menteri Besar turut menziarahi Lim See Sing dan Abu Bakar Long, dua warga emas yang sedang uzur di Kampung Bukit Gasing.

Dr. Samsuri dan isteri, Tuan Faizah Ab Rahman beramah mesra bersama Sing dan isteri, Owi Seyu Hwa dalam kunjungannya.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: