Wednesday, 13 February 2019

Kerajaan Negeri Tidak Pinggir Mana-Mana Kaum

SHARE

KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Kerajaan Terengganu menjadikan Islam sebagai dasar pentadbirannya tanpa meminggirkan mana-mana kaum yang berada di negeri tersebut.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali berkata, semua rakyat di negeri Terengganu mestilah dilayan secara adil dan saksama.

“Program kita pada hari ini merupakan satu mesej jelas, yang kita ingin tunjukkan kepada masyarakat di seluruh negara, bahawa Islam sangat menitikberatkan soal keharmonian dan kesejahteraan masyarakat majmuk.

“Negeri dan negara yang kita sayangi ini dibangunkan atas asas keharmonian masyarakat majmuk. Kontrak sosial yang diwarisi oleh nenek moyang kita telah membawa negeri dan negara ini merdeka dan membangun dengan pesatnya,” jelasnya.


Beliau yang mewakili Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri Terengganu di Kampung Cina semalam.

Menurutnya, impian untuk melihat Terengganu menjadi negeri yang maju dan diuruskan dengan penuh keberkatan serta rakyatnya memperoleh kesejahteraan akan menjadi realiti sekiranya semua pihak bersatu hati dan boleh duduk berbincang bersama.

“Saya berharap sama-sama kita berganding bahu bagi menjayakan dasar Terengganu Maju Berkat Sejahtera. Perkara yang besar ini sudah pasti memerlukan kerjasama daripada semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa.

“Islam telah menganjurkan untuk umat manusia saling kenal mengenal antara kaum dan suku yang ada di atas muka bumi ini dan akan mewujudkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.


“Dan dari perkenalan juga membolehkan kita mengetahui perkara-perkara sensitif dalam setiap kaum dan bangsa,” ujarnya.

Justeru beliau berharap agar rakyat negeri Terengganu memasang  tekad yang baharu untuk kehidupan yang lebih baik pada tahun ini dan tahun-tahun yang mendatang.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: