Sunday, 17 February 2019

Kerajaan Negeri Selesaikan RTB Golongan Terkilan 1999-2004

SHARE
Dr.Ahmad Samsuri  bersama sebahagian penerima geran hakmilik hari ini

KEMAMAN, 17 Februari - Kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) melaksanakan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Golongan Terkilan bagi menyelesaikan semua lot RTB sepanjang 1999-2004 `yang dinafikan hak'  bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri akan bertanggungjawab dan menyelesaikan isu sejak 14 tahun lalu itu dengan kerjasama dari PTG dan juga Pejabat Tanah Daerah  secara berperingkat di seluruh Terengganu.

"Saya difahamkan terdapat lebih 60 ribu penerima RTB ini yang tersenarai nama, ada yang sudah sampai ke peringkat pemilikan geran dan ada yang dalam proses.

"Apa yang malang, pada tahun 2004 berlaku perubahan pentadbiran yang menyebabkan mereka ini dinafikan hak dan mereka inilah golongan yang terkilan yang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk selesaikan masalah ini,"katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Geran Hakmilik Tanah Projek Felcra Kawasan Bukit Keladi(PLBP) Sungai Pergam, Mukim Hulu Jabur, Projek Felda Seberang Tayor Peringkat 3 Mukim Tebak Dan Felcra Seri Bandi Peringkat 3 & 4 Mukim Hulu Chukai, Daerah Kemaman, di Dewan Seri Amar, di sini, hari ini.

Seramai 80 peserta menerima geran hak milik masing-masing.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negeri (DUN), Yahaya Ali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat dan Pegawai Daerah Kemaman, Osman Bakar.

Dr Samsuri berkata, selepas 14 tahun berlalu, kawasan (RTB) berkenaan juga mungkin sudah mengalami perubahan dalam pelbagai aspek dan memerlukan penelitian semula dan memerlukan masa bagi menyelesaikan kes itu satu per satu.

"Ini menyukarkan kerajaan untuk menyelesaikannya dan tidak mudah untuk melaksanakan dalam masa yang singkat.

"Apa yang kita buat, cari kawasan lain dan InsyaAllah satu masa kawasan ini akan menjadi penempatan baharu dan berkembang,"ujarnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: