Saturday, 2 February 2019

Kerajaan Negeri Peruntuk RM200 Ribu Kepada Masyarakat Cina Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000 termasuk untuk sambutan Tahun Baru Cina dan pelbagai bantuan lain kepada masyarakat Cina di seluruh negeri Terengganu pada tahun ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sumbangan untuk sambutan Tahun Baru Cina disediakan kerajaan setelah diluluskan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.  

Katanya, peruntukan itu berdasarkan kepada keperluan mereka kerana bilangan masyarakat Cina di negeri Terengganu tidak seramai di tempat lain.  

Bagaimanapun beliau berkata,  kerajaan negeri tidak meminggirkan kaum Tionghua kerana mereka adalah rakyat negeri Terengganu yang turut membayar cukai.  

Katanya, kaum itu bukan sekadar membayar cukai di peringkat persekutuan tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi Terengganu termasuk membayar cukai perniagaan.  


"Premis-premis mereka pula berada di negeri Terengganu dan mereka memang menyumbang kepada ekonomi negeri. 

"Justeru mengapa tidak (kerajaan membantu mereka). Oleh kerana mereka menyumbang kepada pembangunan ekonomi,  kedudukan mereka juga sebagai rakyat negeri Terengganu yang wajar dibela, " jelas beliau.  

Dr Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Sambutan Tahun Baru 2019 di Pentas Sementara Kampung Cina di sini kelmarin.  

Dr Ahmad Samsuri berharap kaum Tionghua yang berada di seluruh negeri Terengganu bergembira bersempena sambutan Tahun Baru Cina 2019. 

"Kita (kerajaan) mengharapkan tahun ini memberi kesejahteraan lebih baik berbanding tahun yang lalu.  

"Banyak prasarana sudah ada, cuma kita perlu duduk dan berbincang dengan komuniti serta badan bukan kerajaan (NGO) daripada masyarakat Kampung Cina tentang apa lagi yang boleh dibuat dan dipertimbangkan kerajaan negeri untuk menaik taraf tempat ini (Kampung Cina) supaya menjadi tarikan pelancong," ujarnya lagi.

Sementara itu katanya, pengagihan peruntukan tersebut dikendalikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berkaitan.

Hanafiah memberitahu, peruntukan tersebut akan dibahagikan mengikut daerah berdasarkan komposisi masyarakat Cina di kawasan setempat.

Sebelum itu, Dr Ahmad Samsuri melancarkan sambutan karnival itu dengan memukul gong sebanyak tiga kali.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, Ahli Parlimen Kuala Terengganu,  Ahmad Amzad Hashim dan ADUN Bandar, Ahmad Shah Mohamed.

SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: