Sunday, 3 February 2019

Kerajaan Negeri Berhasrat Majukan Kem PLKN Cador

SHARE

Mohd Nor melawat sekitar Kem PLKN Cenderawasih sempena lawatan kerja hari ini

MARANG, 3 Februari- Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Kem PLKN (Program Latihan Khidmat Negara) Cenderawasih, Cador sebagai pusat latihan dan perkaderan untuk agensi kerajaan terutama bagi tujuan pembangunan insan termasuk pusat pemulihan dadah holistik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, kem tersebut menjadi pilihan selepas melihat lokasinya yang strategik serta kesesuaian dari segi prasarana dan perkhidmatan asas yang tersedia di situ.

Katanya, kerajaan negeri akan menimbang pelbagai faktor termasuk aspek kos berkaitan untuk memanfaatkan kemudahan di situ tanpa membiarkannya rosak begitu sahaja.

“Saya  rasa kita boleh guna tempat ini untuk agensi-agensi kerajaan khususnya di bawah pembangunan insan, latihan-latihan yang sesuai untuk guna sama tempat ini sebelum kita tentukan dan tetapkan untuk menjadikannya sebagai pusat pemulihan penagih dadah atau tidak.

“Tapi pada peringkat awal  ini, saya amat menyarankan untuk pusat latihan dan InsyaAllah saya akan berbincang dengan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) termasuk beberapa agensi yang berperanan memberi latihan dan perkaderan pada pegawai, kakitangan kerajaan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan sebagainya,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika melakukan lawatan ke kem PLKN Cenderawasih Cador, di Sungai Temala, Marang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong; Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri, Mat Azmi Arshad dan Ketua Pegawai Eksekutif  Terengganu Strategic & Intergrity Institute (TSIS), Dr Wan Mat Sulaiman dan Pengarah AADK negeri, Wan Jalani Wan Ismail.


Mohd  Nor juga berkata, beliau akan menilai kesesuaian lokasi itu untuk dimajukan sebagai pusat pemulihan penagih dadah yang akan dilaksanakan pada 2020.

Jelasnya, beliau akan mengadakan perbincangan mengenai perkara ini dengan jabatan-jabatan yang berkaitan sebelum membawanya kepada Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“InsyaAllah, penelitian dan kesesuaian ciri-ciri untuk kita penuhi sebagai  pusat pemulihan dadah akan kita dapatkan dari semua pihak jawatankuasa  termasuk  AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), beberapa pensyarah UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin) termasuk UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri) sendiri mengenai perbelanjaan di sini.

“Susulan ini, kita akan penuhi beberapa lawatan lagi dan sekarang kita tengah siapkan modul, cadangan dan saranan untuk semua pihak termasuk UPEN sendiri tentang kos perbelanjaan akan datang …dan bagi AADK, apakah keperluan yang kita perlu ada dan perlu penuhi untuk kita jadikan ia pusat pemulihan dadah kemudian mengenai kakitangan yang akan diwujudkan …semua perlu diperkemaskan,”ujarnya lagi.

Katanya, jika mendapat persetujuan dan saranan daripada agensi berkaitan dengan kos yang sesuai, kem itu akan dimajukan sebagai pusat latihan atau pusat pemulihan dadah sebagaimana yang terkandung dalam Manisfesto Kerajaan PAS baru-baru ini.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: