Sunday, 17 February 2019

Kenyataan PAS Tidak Bantu UMNO Hanya Perang Psikologi - MB Terengganu

SHARE

KEMAMAN, 17 Februari - Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan kenyataan bahawa PAS tidak akan  membentuk kerjasama bersama UMNO bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menerusi satu pengakuan bertulis yang ditandatangani oleh parti tersebut hanya satu perang psikologi.

Menteri Besar Terengganu itu menjelaskan, dakwaan  Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohammad itu tidak benar sebaliknya perjanjian bertulis itu adalah tanda sokongan PAS terhadap agenda PM dalam memelihara dan memperkasa umat Islam dan orang Melayu.

"Perjanjian itu tanda komitmen dan sokongan pada Perdana Menteri terutama dalam agenda memperkukuhkan orang Melayu dan Islam di Malaysia dalam aspek agama Islam, pendidikan dan ekonomi.

"Dakwaan bahawa PAS tidak menyokong UMNO disifatkan sebagai perang psikologi sebagaimana kebiasaan setiap kali tiba musim pilihan raya. Sekarang ini musim pilhan raya, ini ‘war game’. Tentu ada perang psikologi antara pihak-pihak yang bertanding,” jelasnya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Hakmilik Tanah Projek Felcra Kawasan Bukit Keladi(PLBP) Sungai Pergam, Mukim Hulu Jabur, Projek Felda Seberang Tayor Peringkat 3 Mukim Tebak Dan Felcra Seri Bandi Peringkat 3 dan 4 Mukim Hulu Chukai, Daerah Kemaman, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri diminta mengulas mengenai kenyataan tergempar yang dikeluarkan oleh Tun Mahathir semalam selepas pertemuan di Yayasan Al-Bukhary dua hari lalu.

Selain Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, pertemuan di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur itu turut disertai Dr. Ahmad Samsuri.

Walaubagaimana pun beliau berkata satu sidang media akan diadakan oleh PAS Pusat pada petang ini di Kuala Lumpur bagi menjelaskan mengenai pertemuan itu.

"Buat masa ini kita masih lagi berpegang pada keputusan di mana PAS akan membantu jentera UMNO pada PRK Semenyih," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: