Monday, 18 February 2019

KBS Naik Taraf Kemudahan Sukan Untuk Aktiviti Malam

SHARE

KEMAMAN, 17 Februari- Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) akan memastikan kemudahan tempat bersukan di semua negeri akan dipasang lampu limpah dan dilengkapi kemudahan lain bagi membolehkannya digunakan pada waktu malam.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau memandang serius perkara itu bagi merealisasikan sukan untuk semua maka segala kemudahan untuk melakukan sukan selepas waktu bekerja akan diadakan segera.

Jelasnya, beliau juga mahu menjadikan sukan sebagai satu inisiatif bagi mengawal masalah gejala sosial terutamanya di kalangan remaja di kawasan berisiko tinggi melalui aktiviti sukan pada waktu malam.

"Sebab utama saya tekan pada waktu malam kerana ramai anak muda yang mengguna pakai infrastruktur pada waktu malam selepas bekerja atau selepas balik ke sekolah.

"Untuk kita elakkan gejala sosial seperti saya tekankan tadi, pengagihan pembangunan sukan itu dilakukan secara adil dan saya fokus di luar bandar dan juga di kawasan berisiko tinggi,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penyerahan Padang Sintetik Stadium Mini Mak Chili Kemaman, Terengganu oleh Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia kepada Majlis Perbandaran Kemaman, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah; Pegawai Daerah Kemaman, Osman Bakar dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat, ADUN Air Putih, Ab Razak Ibrahim dan ADUN Kemasik, Saiful Azmi Suhaili.

Syed Saddiq berkata keputusan itu dibuat selepas melihat masalah yang dihadapi berkenaan padang sintetik di Kelantan dan terbaharu di Kemaman yang menghadapi masalah yang sama.

Katanya, padang tersebut hanya boleh diguna pakai pada waktu pagi sehingga petang kerana sistem pencahayaan pada sebelah malam agak samar dan lemah menyebabkan aktiviti sukan tidak dapat dijalankan.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, inisiatif itu serta peruntukan yang diberikan menjadi satu mercu tanda hubungan erat antara Kerajaan Pusat dengan negeri.

"Setelah berbincang, saya percaya akan ada lagi inisiatif yang sedang dirangka atau dibaik pulih untuk menaik taraf sukan di Terengganu dan di Malaysia khususnya.

"Satu inisiatif menyeluruh dari KBS dalam projek-projek baharu dalam memartabatkan sukan pada kali ini di Terengganu dan saya ucapkan terima kasih di atas peruntukan RM60 juta tersebut,"ujarnya.

Menurutnya, peruntukan tersebut termasuk memulakan pembinaan tiga projek yang dicadangkan kerajaan sebelum ini iaitu velodrom di Dungun, sebuah Kompleks Sukan Mini di Jabi, Besut dan Telemong di Hulu Terengganu.

"Selain sukan berbasikal, KBS dengan kerjasama kerajaan negeri juga akan memberi tumpuan untuk pembangunan sukan air di sekitar Pulau Duyong dan kawasan pantai di Terengganu," katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: