Monday, 18 February 2019

Jauhi Dadah Dan Lumba Haram

SHARE

Oleh: Saifullah Jusoh

BESUT, 18 Februari - Golongan belia disaran menjauhi dadah dan lumba haram kerana kedua-duanya mengancam nyawa dan kesejahteraan hidup mereka.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berkata, kedua-dua aktiviti haram itu sepatutnya ditinggalkan belia dan sesiapa sahaja kerana sudah  banyak kerosakan berlaku akibat penglibatan mereka dalam aktiviti tidak sihat itu.

Katanya, banyak aktiviti lain yang sepatutnya golongan belia Terengganu berkecimpung di dalamnya termasuk aktiviti berbasikal, senaman,  jogging, bersilat, mendaki gunung dan sebagainya.

"Semua kegiatan itu cukup berfaedah untuk kesihatan minda dan tubuh badan bagi melahirkan masyarakat sihat tubuh badan dan sejahtera akal fikiran," katanya ketika ditemui pemberita di Kejohanan Sepak Takraw anjuran Belia Unit Peti Undi (UPU) Kampung Baharu di sini baru-baru ini.

Beliau turut menegur kegemaran golongan belia menggunakan gajet terutama telefon bimbit secara berleluasa sehingga mengabaikan aktiviti bersukan dan sihat yang lain supaya  tubuh badan mereka sihat dan kuat..


"Saya sangat gembira melihat penglibatan anak muda dalam acara sukan kerana anak muda sekarang tidak ramai yang menyertai aktiviti bersukan. Mereka lebih suka bermain dengan gajet berbanding mengeluarkan peluh.

"Islam mengatakan bahawa lelaki yang sihat tubuh badan, lebih baik dari lelaki yang lemah dan tidak sihat, menunjukkan Islam mengutama kesihatan dalam semua aspek,"jelasnya.

Dalam Bajet 2019 yang dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, pada bulan September tahun lalu, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri bersetuju menganjurkan program khas yang dinamakan Fityah Terengganu (FATEH) melibatkan 8,000 pelajar Tingkatan 3 seluruh negeri Terengganu dalam usaha kerajaan negeri melahirkan generasi muda harapan dan pewaris kepimpinan, sebagai seorang Muslim yang bebas daripada gejala sosial.

Katanya, usaha ini diperkasakan lagi dengan peruntukan sebanyak RM1.36 juta melalui program Generasi Islah Falah Terengganu (GIFT) dan Program Transisi Personaliti Remaja (PTPR).

Semua program tersebut ada dalam perancangan kerajaan negeri.

SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: