Wednesday, 6 February 2019

Jangan Ambil Kesempatan SBMT Untuk Kepentingan Lain

SHARE

KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Orang ramai yang ingin memohon Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) diingatkan supaya tidak menggunakannya sebagai kaedah untuk mendapatkan bantuan wang tunai mudah tanpa sebarang komitmen.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, bagi menggelakkannya daripada berlaku, sebelum sesuatu pinjaman hendak diluluskan, satu panel penilai akan turun padang bagi menilai potensi sesuatu projek yang dicadangkan.

Tambahnya, jawatankuasa induk SBMT yang dipengerusikan oleh Exco Pertanian akan menilai semua maklumat yang berkaitan dengan seadilnya supaya matlamat dari SBMT ini mencapai objektif pelaksanaannya.

Justeru itu, selepas lebih kurang seminggu SBMT dilancarkan, beliau telah mengumpulkan beberapa respon dan komen dari rakyat untuk dianalisa dan diberi perhatian.

"Saya akan terus bekerja keras untuk mengubah cara berfikir rakyat kita. Yang nak maju kita akan bantu, yang masih kaku kita akan gerakkan supaya keluar dari kepompong.

"Yang nak berusaha, kita perlu permudahkan, yang malas kita perlu gilap biar rajin lagipun semua rakyat kita belaka," ujar beliau dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosialnya, baru-baru ini.

Katanya, ini merupakan cabaran untuk membentuk cara rakyat berfikir yang menganggap bahawa SBMT adalah duit kerajaan, maka perlu beri kepada rakyat dan terpulang kepada mereka bagaimana hendak menggunakannya.

"Ramai lagi yang fikir bahawa skim pinjaman mudah seperti SBMT ini, tak bayar pun tak apa, tak buat apa-apa projek pun ok je, duit kerajaan kan duit rakyat juga.

"Sedangkan kita nak bagi pancing dan umpan supaya rakyat boleh mengail dan dapat nikmati hasil tangkapan. Tapi ramai lagi rakyat yang mengharap nak terima ikan siap masak dari kerajaan," ujarnya lagi.

Menurut Dr. Azman, terdapat sebilangan rakyat yang mempertikaikan pemberian bantuan berbentuk barangan, kelengkapan, input, anak benih, peralatan dan sebagainya tetapi bukan dalam bentuk wang tunai.

"Ada yang komen suruh bagi pinjaman dalam bentuk tunai dan terpulang kepada peminjam nak buat apa. Kalau berjaya boleh bayar, kalau tak berjaya kerajaan perlu hapus kira hutang tersebut, takkan dengan rakyat sendiri pun nak berkira.

"Dengan sikap ini kita tak akan maju. Tak mula lagi dah fikir hal gagal dan tak nak bayar pinjaman," ujar beliau.

Tambahnya, apabila sesuatu projek dinilai berdaya maju dan berpotensi, ianya akan diluluskan dan ia merupakan matlamat kerajaan untuk membantu rakyat tanpa sebarang maksud tersembunyi.

"Kalau pemohon memohon untuk nak buat kolam ikan, tapi bila panel penilai nak tengok tapak cadangan nak kolam ikan, pemohon gagal nak tunjuk tapak, tentunya kita tak akan luluskan.

"Bagi yang berjaya dapat SBMT, jika mereka dah berusaha sebaiknya tetapi berlaku bencana alam, wabak dan sebagainya yang di luar daya dan upaya kita, tentunya kita sebagai manusia yang ada hati dan perasaan.

"Ada pertimbangan sebaiknya akan dibuat dan kita bukannya robot untuk memaksa peminjam bayar balik pinjaman, sedangkan usaha mereka pada masa itu ditimpa musibah," katanya bagi mengulas sebahagian komen tentang SBMT.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: