Monday, 18 February 2019

Jamuan Makan Sambil Menderma Bagi Menaik Taraf Surau

SHARE
Jamuan makan sambil menderma untuk menaik taraf surau.

Oleh: Saifullah Jusoh

BESUT, 18 Februari - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Alor Teratai mengambil inisiatif dengan mengadakan Jamuan Makan Sambil Menderma bagi menaik taraf Surau Haji Daud Kampung Alor Teratai.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berkata, program yang diadakan itu sangat memberi manfaat kepada penduduk kampung.

Jelasnya, program sebegitu dapat menghidupkan suasana surau serta mengeratkan hubungan sesama masyarakat di kampung itu.
 
Haji Azbi Salleh bersama komuniti kampung.
"Majlis sebegini sangat baik serta kerjasama penduduk kampung bagi menyiapkan surau ini demi kemudahan penduduk kampung.

"Saya berharap dengan menaik taraf surau ini, penduduk kampung lebih suka untuk mengimarahkan lagi surau apabila adanya majlis-majlis ilmu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyampaikan sumbangan untuk memudahkan lagi proses penambahbaikan surau tersebut di sini semalam.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi MPKK Alor Teratai, Che Zahari Muda serta beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) MPKK Alor Teratai.

Che Zahari Muda turut melahirkan rasa gembira dengan kerjasama yang diberikan oleh penduduk kampung untuk menjayakan majlis itu.
 
Beramah mesra dengan orang ramai.
“Saya sangat gembira dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua masyarakat di sini,” katanya

Majlis yang diadakan di Surau Haji Daud Kampung Alor Teratai, Kuala Besut itu dihadiri oleh semua lapisan masyarakat di kampung itu.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: