Sunday, 17 February 2019

Jalan Raya Kampung Tembila Terengganu Akan Dibaik Pulih

SHARE
Menteri besar Terengganu.
BESUT, 17 Februari - Kerajaan Terengganu memperuntukkan bajet sebanyak RM200,000 untuk projek membaik pulih jalan raya di Kampung Tembila.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sudah meluluskan permohonan daripada pejabat daerah untuk proses pembaikan jalan tersebut.

Jelasnya, kerajaan negeri telah meneliti permohonan itu dan telah meluluskannya untuk kemudahan penduduk di kawasan terbabit.

“Saya ada terima permohonan daripada pejabat daerah.

“Permohonan untuk membaik pulih jalan di kampung Tembila, kita luluskan dengan kos sebanyak RM 200,000,” jelasnya.
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk bertanya soalan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program 'MB Mari Kampung Kite' dalam siri jelajah penerangan Bajet 2019, di dewan Kota Putera Square, Besut.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Dato' A. Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Khuzaini Ab. Rahman serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Program yang julung-julung kali diadakan itu memilih Besut sebagai lokasi pertama sebagai permulaan kepada siri jelajah penerangan bajet 2019.

Program dihadiri sekitar 600 orang itu dianjurkan oleh Terengganu Strategic Integrity Institute (TSIS) Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan .
Orang ramai tekun mendengar penjelasan menteri besar.

Siri jelajah penerangan Bajet 2019 akan diadakan di setiap daerah seluruh Terengganu dengan Marang akan menjadi lokasi seterusnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: