Sunday, 24 February 2019

Internet, Jangan Sampai Tidak Bertegur Sapa

SHARE

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 21 Februari - Pengguna internet digesa agar menggunakan medium itu untuk memperolehi pelbagai manafaat, namun jangan sampai leka dan merenggangkan silaturrahim sehingga tidak bertegur sapa.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri, Ghazali Sulaiman berkata, dunia sekarang menyaksikan masyarakat telah hidup di alam maya, sehinggakan ada yang tidak mempedulikan masyarakat.

"Boleh dilihat, pada hari ini masyarakat seolah-olah tiada lagi di alam nyata, leka dengan penggunaan internet sama ada menggunakan media sosial atau mencari pelbagai maklumat.

"Tiada dapat dinafikan kebaikan itu ada, namun dari sudut negatifnya perhubungan keluarga, masyarakat, jiran tetangga menjadi renggang akibat leka dengan media sosial. Sehinggakan bertandang ke rumah jiran, kadang-kadang jiran terasa hati kerana kita tidak fokus pada percakapannya," ujarnya.


Beliau berkata demikian, semasa hadir pada program Hari Terbuka Pusat Internet Dan Pusat Komuniti Desa, Pasir Raja, di sini, baru-baru ini.

Ghazali berkata, tidak salah menggunakan internet, bagaimanapun jangan sampai meretakkan perhubungan kekeluargaan mahupun masyarakat.

"Jadilah seorang pengguna internet dan media dengan bijak serta menguruskan dengan baik.

"Ianya terletak di tangan kita, yang menentukan internet itu baik atau tidak baik ianya bergantung kepada sikap kita," katanya.

Di samping itu, Ghazali juga meminta pengguna internet pada alaf ini, agar berhati-hati dengan jenayah siber.

Menurutnya, penggunaan internet walaupun mendatangkan kebaikan perlu digunakan secara berwaspada berikutan pada masa kini segala bentuk ancaman boleh datang melalui pelbagai caradan elakkan menjadi mangsa kecanggihan teknologi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: