Wednesday, 27 February 2019

Hubungan Baik Kerajaan Negeri, Persekutuan Harus Dikekalkan - MB Terengganu

SHARE
Dr. Samsuri perjelas hubungan baik mampu memberi manfaat besar kepada rakyat.
MARANG, 27 Februari - Kerajaan negeri berharap hubungan baik bersama Kerajaan Persekutuan dapat dikekalkan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hubungan positif kedua-dua pihak mampu memberi manfaat yang besar kepada rakyat.

“Jika kita boleh mengekalkan hubungan sebegini, kedua-dua pihak iaitu Persekutuan dan negeri akan mendapat manfaat secara bersama.

"Paling penting, ia memberi manfaat besar kepada rakyat Terengganu,” katanya ketika menjawab persoalan yang dikemukakan dalam program MB Maghi Kapung Kite di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), di sini, baru-baru ini.

Dr. Samsuri berkata, apa yang berlaku membuktikan terdapat cara lebih baik yang boleh dilakukan kedua-dua pihak berbanding puluhan tahun dahulu.

“Jadi, saya meminta supaya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertimbangkan perkara tersebut dan beliau terima apa yang diminta,” katanya.

Dr. Samsuri menegaskan, usaha secara berperingkat dilakukan dan setelah itu, Kerajaan Terengganu memperoleh apa yang diperlukan.

Bagi tahun 2018, Terengganu menerima keseluruhan royalti berjumlah RM1.26 bilion selepas ditolak hutang negeri kepada Persekutuan berjumlah RM60 juta.

Namun, Terengganu dijangkakan bakal menerima jumlah hampir sama bagi tahun ini.

Dalam pada itu, beliau yang mengetuai pentadbiran negeri Terengganu nyata berpuas hati dengan prestasi Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik (Exco) sepanjang 10 bulan pemerintahan kerajaan baharu itu.

“Saya sangat berpuas hati dengan mereka. Masing-masing tahu tentang tugas dan tanggungjawab serta bekerja dengan begitu keras sekali.

“Saya rasa bukan saya seorang yang menilai, rakyat boleh melihat bagaimana komitmen daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program berkenaan.

MB Maghi Kapung Kite merupakan program siri jelajah penerangan berkaitan Bajet 2019. Siri kedua kali ini diadakan di daerah Marang selepas yang pertama untuk daerah Besut dan Setiu pada awal Februari lalu.

Program kali ini dihadiri sekitar 1,000 penduduk setempat terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: