Saturday, 23 February 2019

Himpunan Belia Terengganu Meriah, Sarat Pengunjung Dan Aktiviti

SHARE
'PS4 Games' tarik anak muda.

KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Kesibukkan berhujung minggu bukan penghalang bagi orang ramai khususnya belia untuk memeriahkan Himpunan Belia dan Beliawanis Negeri Terengganu (HEBAT) 2019, yang diadakan di Stadium Negeri, di sini, hari ini.

Seawal pukul 9 pagi, Stadium Negeri Terengganu, sudah menerima kunjungan belia dan ibu bapa yang tidak mahu melepaskan peluang untuk menyertai dan menyaksikan aktiviti yang dilangsungkan.

Pelbagai acara dijalankan seperti aktiviti jualan, pertandingan nasyid, mewarna, kawad kaki, memanah, PS4 Games dan 'dart'.

Paling menjadi tumpuan pengunjung ialah pertandingan nasyid dan PS4 games yang diadakan di dewan utama.

Rata-rata pengunjung berpuas hati dengan kemeriahan himpunan belia itu.

Pertandingan nasyid menjadi tumpuan.

Pengunjung, Afifuddin Muda, 25, berkata,
program seperti ini sangat menarik kerana berjaya mengumpulkan ramai belia daripada semua peringkat.

Jelasnya, aktiviti yang diadakan seperti PS4 Games berjaya mencungkil bakat-bakat belia untuk diketengahkan dalam industri 'e-sport'.

"Rasa seronok datang ke sini, melihat aktiviti-aktiviti yang ada boleh menenangkan fikiran.

"Tadi saya tengok PS4 games, baguslah ada program sebegini, tambah-tambah sekarang sukan e-sports sedang berkembang dalam kalangan belia," jelasnya.
Anak muda juga tidak melepaskan peluang untuk menyertai pertandingan kawad kaki.

HEBAT yang mengumpulkan belia dari seluruh daerah itu berlangsung selama dua hari.

Himpunan yang menyasarkan untuk menghimpunkan 10,000 belia itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dr. Samsuri Mokhtar semalam.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: