Sunday, 17 February 2019

Gara-Gara Pinjaman Tanpa Faedah, YPU Terengganu Jadi 'Kawasan Panas'

SHARE
Dana TUGAS bakal membantu usahawan lebih berdaya saing.
KUALA LUMPUR, 17 Februari - Pengumuman Kerajaan Terengganu yang menawarkan pinjaman tanpa faedah baru-baru ini membuatkan ramai usahawan negeri itu 'menyerbu' pejabat Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di seluruh daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pinjaman melalui Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) dengan dana berjumlah RM15 juta itu kini menjadi bualan masyarakat dan sering diutarakan rakyat dalam pertemuan pemimpin negeri bersama mereka.

"Setakat ini, lebih 500 permohonan telah kita terima dan pejabat YPU masih menjadi tumpuan masyarakat yang datang mendapatkan penjelasan dan mengisi borang permohonan.

"Usahawan kita memang perlukan bantuan, tetapi mereka tidak tahu ke mana hendak pergi.

"Jadi, apabila kita mula memperkenalkan apa itu YPU, dan apa yang ada pada YPU, ramai usahawan mula datang untuk mendapatkan perkhidmatan," katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini.
Pelbagai produk Terengganu mempunyai potensi pasaran di luar negeri.
Beliau berkata demikian ketika hadir dalam program Walkabout Showcase Teganu Kite di Sungei Wang Plaza, Bukit Bintang anjuran YPU.

Program tersebut bertujuan memperkenalkan produk-produk terpilih Terengganu untuk membina jaringan pemasaran lebih luas di seluruh negara.

Sekitar 20 usahawan dalam bidang kraf, batik dan makanan berkumpul selama empat hari untuk memasarkan produk mereka.

Showcase yang diadakan buat kali ketiga itu merupakan usaha berterusan YPU untuk mengangkat produk negeri ke pasaran lebih luas di dalam dan luar negara.
YPU cemerlang dalam mengangkat usahawan ke peringkat lebih tinggi.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: