Wednesday, 27 February 2019

Galak Anak Muda Ceburi Kerjaya Kartunis

SHARE

Oleh: Adli Mohamad

KUALA TERENGGANU, 26 Februari- Golongan belia perlu didedahkan kepada semangat dan galakkan untuk manfaatkan sepenuhnya bakat yang dimiliki dan tidak hanya tertumpu kepada kerja makan gaji semata-mata.

Kartunis terkenal tanahair, Mazli Ibrahim berkata, mereka perlu disemai kesedaran untuk berdikari dan mengunakan kelebihan yang ada agar bakat dianugerah Ilahi tidak disia-siakan.

Mazli yang menggunakan nama penanya Gayour berkata, beliau menyokong penuh sekiranya kerajaan Terengganu berhasrat untuk menubuhkan akademi bagi melatih dan melahirkan bakat baru supaya melukis kartus menjadi antara kerjaya pilihan anak muda.

“Kerjaya sebagai kartunis sebenarnya turut menjanjikan pendapatan yang baik dan Kerajaan Terengganu boleh menyediakan platform untuk anak-anak muda mengasah bakat melukis contohnya dengan penubuhan akademi di peringkat sekolah rendah lagi.

“Secara tidak langsung, membuka peluang kepada generasi baru yang berbakat dalam bidang ini mempelajari teknik-teknik yang betul sebagai panduan menjadi seorang pelukis 'ilustrator', animasi, kartun, komik dan sebagainya.

“Selain dapat melahirkan produk yang menguntungkan kerajaan negeri, kerjaya kartunis boleh menjadi antara kerjaya pilihan oleh anak-anak muda yang berbakat," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada Pesta Buku Terengganu di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Gayour berkata, seni lukisan juga mampu menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat dengan cara yang menarik dan ringkas sekali gus dapat menghalang lambakan karya-karya kartun dari barat yang tidak sesuai dengan adat ketimuran di Malaysia.

"Saya memang menyokong jika kerajaan Terengganu menubuhkan akademi, kursus-kursus tertentu khususnya dalam bidang lukisan kartun.

" InsyaAllah, saya boleh membantu jika diperlukan idea, pengalaman saya itu adalah satu perkara yang saya boleh sumbangkan dalam membantu kearah memperkenalkan kerjaya kartunis kepada generasi kini," ujarnya yang terkenal melalui majalah Ujang.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: