Thursday, 21 February 2019

Gajah Liar Ancam Penduduk Kampung Shukor

SHARE

Gajah betina ganggu penduduk Kampung Shukor Hulu Dungun.

HULU DUNGUN, 21 Februari - Kerajaan negeri akan memanggil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk menyelesaikan masalah serangan gajah liar di Kampung Shukor, di sini beberapa hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkatakes serangan gajah beberapa hari lalu sehingga mengakibatkan kerosakan kebun milik penduduk, sudah dalam makluman beliau.

"In Sya Allah kita (kerajaan) akan panggil Perhilitan untuk bincang isu ini. Ada satu tabung di bawah kerajaan negeri yang diuruskan bersama Perhilitan dinamakan Tabung Amanah Gajah.

"Dananya digunakan untuk menguruskan kes-kes yang melibatkan gajah seperti pemindahan gajah dan pembinaan pagar elektrik," jelas beliau.

Dr Azman berkata demikian ketika mengulas kes gangguan seekor gajah betina berusia 20 tahun di kampung berkenaan di status facebook beliau semalam.

Rahmah Alias
Pengarah Perhilitan negeri, Rahmah Alias ketika dihubungi hari ini, berkata pihak Perhilitan Dungun menjalankan tindakan 'tembak halau' (dengan menembak ke atas, menggunakan senapang jenis Shotgun) bagi menghalau gajah betina itu supaya kembali semula ke hutan berhampiran.

Katanya, Perhilitan telah membuat tinjauan sebanyak empat kali bermula 14, 15, 18 dan 19 Februari lalu dan menembak halau sebanyak satu sesi, pada setiap kali tinjauan.

Bagaimanapun gajah berkenaan terus kembali merosakkan tanaman penduduk dan pihak perhilitan percaya memasang pagar elektrik bersesuaian untuk menyelesaikan masalah berkenaan.




Pokok kelapa yang dimusnahkan gajah betina di Kampung Shukor.
"Pihak Perhilitan tidak berhasrat untuk memindahkan gajah betina itu ke tempat lain kerana gajah itu keluar dari habitat atau hutan berhampiran.

"Kaedah sesuai untuk selesaikan masalah itu ialah memasang pagar elektrik supaya gajah berkenaan tidak lagi masuk ke kampung itu dan mengganggu ketenteraman awam di situ," ujarnya.

Rahmah berkata, gajah berkenaan dianggarkan berusia 20 tahun berdasarkan saiz tapak kaki haiwan itu.

Dalam pada itu, beliau menunggu tarikh ditetapkan untuk pertemuan dengan Dr Azman bagi mengambil keputusan muktamad untuk selesaikan gangguan gajah di kampung berkenaan.


"Saya telah menerima maklumat itu dari pejabat Exco Dr Azman dan telah mengambil tindakan segera menghalau gajah berkenaan dengan melaksanakan tembak halau gajah ke hutan berhampiran," jelasnya.
Anak pokok kelapa sawit musnah akibat gangguan gajah liar di Kampung Shukor.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Che Wan Badri Che Wan Hassan ketika dihubungi berkata, gajah berkenaan keluar pada waktu petang dan malam dari hutan, sebelum memasuki beberapa buah kebun berhampiran Sekolah Kebangsaan Shukor dan memusnahkan tanaman penduduk termasuk kelapa sawit, pisang dan kelapa.


Katanya, jangkaan kerugian ditanggung penduduk ialah kira-kira RM30,000.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dan Perhilitan bertindak pantas menghalau gajah berkenaan dari mengganggu penduduk kampung tersebut supaya penduduk tidak lagi bimbang untuk menjalankan kegiatan harian termasuk ke sekolah dan ke kebun untuk menoreh getah.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: