Friday, 22 February 2019

Dua Lokasi Baharu Rumah Rakyat Pecah Tanah Mac Ini

SHARE


KUALA TERENGGANU, 22 Februari – Kerajaan negeri sedaya upaya melunaskan janji manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu untuk membina rumah untuk rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, walaupun terdapat halangan dari segi kewangan namun kerajaan berjaya melaksanakan dan sedang melakukan beberapa projek ke arah merealisasikan janji itu.

“Kita telah berusaha sedaya upaya kita  dengan  kemampuan yang kita ada dengan halangan-halangan kita terima khususnya dari segi kewangan  negeri yang sangat terhad.

“Dan komitmen hutang kerajaan dulu yang terpaksa kita selesaikan  serta projek dahulu yang sedang berjalan  dan  belum siap juga  memerlukan peruntukan yang besar untuk disiapkan,” jelasnya.

 Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke 17 di Pejabat Khairunisa, Batu Buruk, di sini, semalam.


Oleh itu beliau berkata, bagi merealisasikan seluruh pembangunan perumahan, kerajaan negeri memerlukan kewangan yang besar kerana selain daripada membina rumah yang baharu, projek lama yang belum disiapkan juga perlu diteruskan.

“InsyaAllah pada tahun ini, sebenarnya (sejak) tahun lepas lagi (telah) bermula proses untuk membina rumah baharu untuk rakyat dan tahun ini kita akan  melakukan dua (lokasi) pecah tanah (iaitu) satu projek di Tok Jembal (iaitu) rumah flat dan yang kedua di Tajin, Hulu Terengganu (iaitu) rumah teres.

“Dalam jadual kita (juga) perasmian pecah tanah akan dibuat setelah siap kita melantik kontraktor, kita ‘target’ minggu ke tiga Mac akan dapat dirasmikan oleh Menteri Besar di kedua-dua tempat (pada) hari berlainan tapi dalam minggu yang sama,” ujarnya.

Namun begitu, kata Dr Alias, ada beberapa lagi projek lain yang dibiayai Kerajaaan Persekutuan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Saya telah pergi sendiri bersama para pegawai saya dan berjumpa dengan Timbalan Menteri berkenaan di Putrajaya (dan) berbincang dengan pegawai mereka bagaimana (mungkin) Kerajaan Pusat boleh meletakkan sasaran membina satu juta rumah untuk tempoh empat tahun.

“Sudah tentu pembinaan itu akan dilakukan di negeri - negeri dan tidak terkecuali di Terengganu akan terlibat, sebab (urusan) tanah ini di bawah kuasa (kerajaan) negeri,”katanya.

Justeru itu, Kerajaan Pusat bersetuju memberi peruntukan untuk membangunkan tiga tapak lagi bagi pembinaan rumah baharu.

“Kita cadangkan enam tapak  untuk pembinaan rumah di Negeri Terengganu (namun) dalam perbincangan itu, insyaAllah diberi  kelulusan (dana) untuk tiga tapak.

“ Malah, kita juga amat mengharapkan (kelulusan) permohonan dapat disegerakan  iaitu (terutamanya) di Besut kerana permintaan tinggi untuk rumah mampu milik dan di Marang sebab di (kampung) Jambu  Bongkok (akan dibangunkan) Lembah Silika (di mana) kita akan bina kilang untuk proses  silika,” jelasnya lagi.

Sudah tentunya, tambah beliau ia akan menjadi keperluan bagi pembangunan perumahan untuk menampung keperluan para pekerja bagi projek mega Lembah Silika itu.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: