Saturday, 23 February 2019

Dr. Wan Saleha Terima Anugerah Utama Sayyidatina Aisyah

SHARE

Dr Wan Saleha

Oleh: Mastura Jamal Din & Noraini Jusoh

KUALA NERUS, 23 Februari-Sekali lagi kerajaan negeri merakam sejarah mengadakan sambutan hari wanita atau lebih dikenali Hari Sayyidatina Aisyah Peringkat Negeri Terengganu.

Sambutan itu merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk menghargai sumbangan dan peranan yang telah dimainkan oleh para wanita khususnya wanita Terengganu.

Dalam majlis tersebut, Dr Wan Saleha Dato' Wan Ishak, 66, dinobatkan sebagai penerima anugerah utama Sayyidatina Aisyah yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 dan sijil penghargaan.

Dr. Wan Saleha yang kelihatan teruja dengan penghargaan tertinggi kepada wanita melahirkan perasaan syukur dan gembira kerana terpilih memenangi anugerah srikandi yang menjadi idolanya.

"Memang rasa terharu dengan penghargaan tertinggi dalam hidup saya dan saya sangat menghargai anugerah ini walaupun berasa ramai lagi wanita hebat yang layak untuk dinobatkan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pimpinan kerajaan negeri yang sentiasa melakukan yang terbaik untuk wanita.

"Semoga anugerah ini memberi inspirasi untuk saya terus menyumbang bakti untuk pembangunan wanita, remaja, masyarakat dan negara insya-Allah,"katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian Hari Sayyidatina Aisyah di sini, hari ini.


Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di majlis perasmian Hari Sayyidatina Aisyah, sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus.

Dr.Wan Saleha turut menyarankan agar para wanita berusaha lebih bagi mempertingkatkan kemampuan diri  dan melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh supaya mendapat rahmat di dunia dan akhirat.

“Sebagai seorang yang mendampingi Rasulullah S.A.W, kita perlu banyak belajar daripada Sayyidatina Aisyah kerana beliau bukan wanita biasa tetapi wanita yang lain pada zamannya.

"Kita juga perlu lebih banyak melihat kepada Sayyidatina Aisyah sebagai wanita contoh untuk mencapai kecemerlangan memandangkan banyak contoh teladan yang ada pada dirinya” ujar beliau.

Dr. Wan Saleha dilahirkan pada 10 September 1953 di Kampung Raja Besut dan merupakan anak sulung dari sepuluh adik beradik.

Beliau merupakan ibu kepada empat cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Dr. Salehuddin Yahya.Tiga daripada anak beliau merupakan doktor dan dua daripadanya merupakan doktor pakar.

Mendapat pendidikan dalam bidang perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau mula bertugas sebagai doktor perubatan di Hospital Besar Kuala Lumpur,  Hospital Kuala Terengganu sebelum berpindah ke Hospital Besar Kuala Besut pada tahun 1982.

Pada tahun 1985, Dr. Wan Saleha mengambil keputusan untuk berhenti dan membuka klinik swasta perempuan pertama di negeri Terengganu.

Hasmah Abd Rahman  (Anugerah OKU Cemerlang).

Sementara itu, empat lagi penerima anugerah turut diraikan dalam majlis tersebut iaitu Dr. Mariam Taib (Anugerah Ilmuan), Rosemunainah Noor Assmuni (Anugerah Bakti), Wan Nor Mafudah Wan Yusof (Anugerah Ikon Remaja) dan Hasmah Abd Rahman (Anugerah OKU Cemerlang).


Anugerah-anugerah tersebut disampaikan berdasarkan kriteria-kriteria tertentu kepada individu-individu terpilih yang telah membangunkan dan mengharumkan negeri Terengganu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: