Sunday, 3 February 2019

Diskusi Fatwa Didik Masyarakat Tentang Hukuman Sebat Menurut Islam

SHARE
Dato' Dr Zulkifly Muda (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali (kanan). Foto - Aziz Hambali
MARANG, 3 Februari - Bagi mendidik dan memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai pelaksanaan hukuman sebat menurut Islam, satu diskusi fatwa mengenainya telah dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Terengganu di Dewan Syarahan, Masjid Sultanah Nur Zahirah hari ini.

Program Diskusi Fatwa Pelaksanaan Hukum Sebat Menurut Islam yang terbuka kepada umum itu menampilkan Mufti Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Zulkifly Muda membentangkan kertas kerja berkaitan ‘Pelaksanaan Hukuman Sebat Berdasarkan Versi Fiqh Islam’.

Perasmian program tersebut yang turut mendapat kerjasama Pejabat Agama Daerah Marang dan Pejabat Daerah Marang telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali.

Program yang diisi dengan sesi penjelasan dan dialog itu turut membincangkan tajuk mengenai ‘Hukum Sebat Pro Dan Kontra Pada Pandangan Islam dan Sivil’ yang dikendali Timbalan Mufti Negeri Terengganu, Ahadi Othman selaku moderator dan ahli panel terdiri daripada Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Mohd Badrol Awang dan Pengarah Penjara Negeri Terengganu, Ahmad Saidi Hamzah.


Sementara itu, Yahaya berkata, program yang diadakan lebih kepada memberi kefahaman kepada masyarakat termasuk perbincangan secara lebih mendalam mengenai cara sebatan menurut Islam.

“Diskusi sebegini sangat penting, kerana kita mahu apabila dibuat sesuatu keputusan berkait dengan fatwa ianya adalah hasil daripada satu perbincangan yang mantap dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

“Selari dengan hasrat kerajaan sendiri supaya sesuatu pelaksanaan bermula daripada keputusan termasuk hal sebatan ini hendaklah dilakukan secara tertib.

“Kita tidak mahu apa yang kita lakukan dalam sesuatu perkara dilihat secara tergopoh-gapah dan tidak difahami secara baik oleh masyarakat yang boleh mengundang spekulasi dan persepsi negatif,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan program tersebut.

Program diskusi yang diadakan itu adalah rentetan daripada peristiwa dua orang wanita berumur 32 dan 22 tahun dijatuhi hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu selepas didapati bersalah melakukan hubungan sejenis di tempat letak kereta Arena Merdeka, Dungun, Terengganu.

Kedua-dua mereka didakwa menurut Seksyen 30 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu kesalahan musahaqah atau persetubuhan di antara perempuan dengan perempuan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: