Sunday, 24 February 2019

Bina Jati Diri Pelajar Berasas Syariat - YB Hishamuddin

SHARE


Oleh: Mohd Zukifli Mat

KUALA NERUS , 21 Februari- Kerajaan negeri terus komited dalam mendidik dan membina jati diri pelajar agar menjadi aset yang penting kepada negeri serta  negara berasaskan acuan syariat Islam seperti yang diajar oleh Baginda Nabi SAW.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pendidikan berteraskan ajaran Islam adalah agenda utama kerajaan negeri bagi melahirkan pelajar yang merupakan aset penting pada masa depan.
   

"Tiga elemen penting yang patut kita terapkan ke dalam diri iaitu ilmu, iman dan juga amal. Dalam banyak perkara, tiga perkara ini menjadi teras kepada kepimpinan Kalau kita ingin menjadi pemimpin, pemimpin tersebut hendaklah memiliki ilmu.

"Kalau kita ingin menjadi pemimpin, biarlah kita menjadi pemimpin yang memiliki iman, pemimpin yang beramal dan juga pemimpin yang bekerja, barulah lengkap pakej kepimpinan,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam majlis perasmian ‘Kem Kepimpinan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Gong Badak di Dewan Utama Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak, di sini, baru-baru ini.


Hishamuddin berkata, pelajar bukan sekadar menjadi pembimbing persatuan dan kelab semata-mata, tetapi mestilah mempunyai sifat bertanggungjawab terhadap setiap kemudahan yang disediakan ini seumpama ianya kepunyaan kita.

Katanya, kemudahan Kompleks Sukan Gong Badak dan sekolah yang menjadi tanggungjawab bersama perlulah dijaga termasuk dalam aspek kebersihan dan disiplin waktu.


"Masuk sahaja dalam sekolah, satu perkara yang penting adalah tidak akan ada sampah kerana nilai kepimpinan yang sangat tinggi akan membimbing rakan kita yang lain untuk turut sama memberikan penekanan terhadap kebersihan.


"Kalau kita ada jiwa kepimpinan dengan ilmu, iman dan amal tentu sekali kita akan menjadi pelajar yang sangat berdisiplin, hadir ke sekolah awal kemudian kita tekun dan fokus ketika berada dalam kelas. Manakala ketika menghadapi peperiksaan kita adalah di kalangan yang sangat tekun menghadapi peperiksaan, maka jiwa kepimpinan ini akan menyerlah dalam diri kita dan melahirkan kualiti yang sangat baik. Dan itulah impian semua guru-guru,"katanya.

Menurut beliau lagi, biarpun bergelar wakil rakyat, beliau juga boleh diibaratkan sebagai guru kerana sifatnya adalah untuk membimbing seluruh masyarakat.

Selain itu, katanya, jika berbicara mengenai sukan, beliau yang turut terlibat menguruskan sukan dan pembangunan atlet negeri mengambil pendekatan berhati-hati dan tidak gopoh sebaik sahaja mengambil alih kerajaan.

Tambahnya, dengan menerapkan ilmu, iman dan amal kerajaan negeri sama sekali tidak akan mundur dalam semua aspek termasuk dalam bidang sukan apabila membawa pakej pematuhan syariah sepertimana diajarkan oleh Nabi SAW.

"Ini lah yang saya ingin kongsikan kepada adik-adik sekalian. Kita bukan berbicara soal menang kalah semata-mata, dalam sukan satu contoh. Kalah menang itu perkara biasa. Saya tidak meletakkan KPI (petunjuk prestasi utama) yang tinggi kita mesti menang, tetapi saya membentuk pasukan supaya memiliki jiwa untuk menang. Saya membentuk kepada seluruh penonton ada jiwa untuk menang.


"Alhamdulillah bukan saja pasukan kita terapkan untuk menang tetapi juga kepada penonton dan  penyokong juga perlu mempunyai jiwa untuk menang. Di stadium kita bimbing masuk tanpa sampah keluar tanpa sampah. Tempoh hari sehingga jam 12 malam (selepas perlawanan) penyokong-penyokong bola sepak Terengganu tidak keluar dari stadium sehingga stadium bersih dari sampah. Ini jiwa yang menang walaupun malam tersebut Terengganu sekadar seri tetapi penyokong memiliki jiwa menang (kutip sampah) dan tidak izinkan sampah ada di dalam stadium tersebut. Saya ingin generasi kita akan datang kekal memiliki jiwa menang seperti ini,"ujar beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: